fbpx

Ahmad Maslan tarik diri calon Timbalan Speaker

Ahli Parlimen Pontian Datuk Seri Ahmad Maslan. Foto oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan menarik diri daripada menjadi calon Timbalan di-Pertua Dewan Rakyat.

Beliau mengumumkan perkara tersebut dalam sidang media di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Sebelum ini, Ahmad merupakan satu-satunya calon daripada blok kerajaan untuk dilantik ke jawatan tersebut.

Blok pembangkang pula mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mewakili Pakatan Harapan (PH).

Semua ahli Parlimen Bersatu serta empat ahli Parlimen bebas yang berpihak kepada parti itu telah bersetuju untuk berkecuali semasa undian dibuat.

Awal hari ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan menegaskan pendirian menolak sebarang usul untuk melantik tiga jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Pada 29 September, Ahmad yang juga merupakan Setiausaha Agung UMNO dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpr daripada tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar, memaklumkan mahkamah bahawa pihak pendakwaan menarik balik kesemua pertuduhan selepas Ahmad bersetuju kesnya dikompaun RM1.1 juta.






Sumber: MalaysiaGazette

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews