fbpx

Sedia 10 tong air harungi gangguan bekalan air

Tan Soo Keong (kanan) dan Mazilah sedang mengangkat air sebagai persediaan gangguan bekalan air berjadual bermula esok. ABDUL RAZAK IDRIS

KLANG – Notis atau pemakluman awal diberikan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor) membuat penduduk di Pangsapuri Klang Jaya di sini lebih bersedia bagi memastikan urusan harian mereka berjalan dengan lancar.

Ini berikutan mereka yang tinggal di kawasan perumahan strata perlu ‘bekerja keras’ selain menanti lif atau menggunakan tangga bagi mengambil air daripada lori tangki yang hadir nanti.

Seorang penduduk, Tan Soo Keong, 67, berkata, dia telah menyimpan 10 tong air untuk kegunaan harian lima ahli keluarganya sepanjang tempoh empat hari gangguan bermula esok.

Katanya, langkah notis awal secara langsung membantu dan menyedari kepentingan penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) demi kepentingan masa depan.

“Kita sendiri tahu kalau duduk rumah bertingkat ini, cabaran lebih sedikit jadi persiapan awal perlu dilakukan yang sekurang-kurangnya dapat menampung dalam tempoh dua atau tiga hari.

“Namun, saya berharap tempoh gangguan tersebut tidak melebihi daripada tempoh masa diperlukan sehingga menyulitkan bukan sahaja penduduk di pangsapuri ini malah di lokasi lain yang terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Pandangan itu senada dengan seorang lagi penduduk, Mazilah Mat Nasir,41, apabila pemberitahuan itu memberikan sedikit kelegaan dan berharap jadual lori tangki dapat dipertingkatkan untuk kegunaan penduduk nanti.

“Empat hari bukan tempoh yang singkat kerana air tiada dalam tempoh beberapa minit sahaja sudah mengusarkan kami. Namun, saya telah menadah air untuk kegunaan bagi bekalan tiga hari,” ujarnya.

Terdahulu Air Selangor mengumumkan sebanyak 998 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula esok.







Sumber: Kosmo!

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews