fbpx

Jabatan Mufti Perak lancar perpustakaan digital, himpun 5,000 naskhah kitab

Saarani merasmikan Maktabah Digital yang dilaksanakan secara maya pada Khamis.

Ipoh: Jabatan Mufti Negeri Perak (JMNPk) hari ini melancarkan perpustakaan digital jabatan berkenaan yang memuatkan pelbagai kitab rujukan agama Islam berautoriti dari pelbagai mazhab dan aliran sebagai langkah menyuburkan minat masyarakat terhadap kajian ilmiah.

Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata, inisiatif berkenaan yang setakat ini sudah menghimpumkan kira-kira 5,000 naskhah buku pelbagai judul itu wajar dilihat sebagai satu respon strategik merealisasikan konsep kerajaan digital yang sekali gus meningkatkan sistem penyampaian untuk rakyat.

Menurutnya, pembangunan ‘maktabah’ atau perpustakaan digital terbabit membolehkan kajian terkini dapat diadaptasikan secara menyeluruh tanpa sebarang kepincangan dan kekurangan yang mana kajian seumpama itu sangat penting untuk menjawab sebarang permasalahan semasa yang dihadapi oleh umat Islam.

“Pengumpulan bahan ilmiah dan penerbitan yang mempunyai nilai sejarah dan rujukan autentik perlu didokumentasikan secara digital ke dalam sistem ini bagi mengelakkan kepupusan, kerosakan dan kehilangan bahan berkenaan.

“Kitab-kitab turath (warisan) merupakan khazanah ilmu para alim ulama Islam yang memberi sumbangan besar dalam khazanah perpustakaan Islam, perlu dipersembahkan kembali pada masyarakat dalam bentuk digital dengan diberi nafas baharu pada hari ini.

“Selain dari hasil kajian ilmiah oleh para penyelidik yang turut memerlukan satu platform yang diintegrasikan dengan karya grafik supaya memudahkan sistem penyampaian,” katanya sewaktu melancarkan Maktabah Digital JMNPk yang disiarkan secara maya melalui aplikasi Zoom, hari ini.

Saarani yang juga Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perak berkata, pembangunan perpustakaan atau ‘Maktabah Digital’ terbabit mempunyai empat modul utama yang berfokus kepada pengurusan dan penyelarasan pinjaman dan pemulangan buku, dokumentasi dan kajian, penerbitan dan multimedia serta galeri arkib.

Beliau berkata, bagi pihak kerajaan negeri pendigitalan buku dan kitab yang dilaksanakan JMNPk dianggap sebagai usaha mengembangkan syiar Islam di negeri ini serta dianggap menjadi pemangkin kepada perancangan dan pembangunan perkembangan Islam di Perak.

“Sistem ini bertujuan memberi kemudahan kepada mana-mana pegawai membuat rujukan bagi kajian isu-isu semasa, memberi perkhidmatan kepada guru-guru agama tauliah, golongan penyelidik, pengkaji ilmu falak, dan orang awam mendapatkan bahan rujukan berautoriti secara digital.

“Semoga pelancaran Maktabah Digital ini menjadi pemangkin dan penggalak kepada agensi kerajaan dan swasta yang lain untuk melakukan pendigitalan maklumat sebagai meningkatkan tahap kecekapan proses penyampaian kepada rakyat di negeri ini,” katanya.






Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts