KUALA LUMPUR: Pekerja ekonomi gig di negara ini tidak termasuk di bawah definisi pekerja seperti yang dinyatakan di bawah Akta 265, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Awang Hashim berkata setakat ini, tiada rekod atau pemfailan kes buruh berkaitan golongan pekerja gig yang boleh digunakan sebagai penandaarasan (test case) yang membolehkan pekerja ekonomi gig menikmati manfaat seperti pekerja di bawah definisi undang-undang buruh di Malaysia.
“Sistem pekerjaan gig dan ‘contract for service’ yang dipersetujui menjadikan pekerja ekonomi gig tidak tertakluk di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata kerajaan melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada orang bekerja sendiri termasuk pekerja ekonomi gig seperti penghantar makanan dan perkhidmatan e-hailing sekiranya mencarum di bawah akta itu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan bercadang untuk mengenakan gaji minimum dalam platform perniagaan industri ekonomi gig sepertimana yang dilakukan kerajaan United Kingdom (UK) kepada pekerja dan soalan Datuk Seri Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) mengenai isu sama.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan di bawah Akta 732, PGM 2020 terpakai kepada semua pekerja di sektor swasta kecuali pekhidmat domestik seperti yang didefinisikan di bawah Akta Kerja 1995 (Akta 265), Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).
Katanya, takrifan ‘pekerja’ di bawah Akta 265, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76) adalah individu yang terikat di bawah satu kontrak perkhidmatan dengan pihak majikan.
Pekerja ekonomi gig merupakan individu yang bekerja sendiri dan bebas yang tertumpu kepada skop kerja dan tempoh masa yang ditetapkan dengan bayaran yang dipersetujui.
Sistem bekerja dan ciri-ciri gig memberi kebebasan kepada organisasi dan pekerja menjalankan kontrak yang lebih terbuka dan bekerja secara fleksibel tanpa terikat kepada bekerja sepenuh masa dan persekitaran pejabat.
Sementara itu, menjawab soalan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) mengenai dasar dan program baharu bagi mewujudkan sumber pendapatan baharu di samping mengekalkan pekerjaan sedia ada di Sabah, Awang berkata kerajaan memperkenalkan beberapa inisiatif agar pelbagai peluang pekerjaan dapat diwujud dan ditawarkan kepada semua peringkat pencari kerja.
“Dalam keadaan ekonomi yang masih dalam tahap pemulihan, kerajaan melalui Caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperkenalkan Program Insentif Pengambilan Pekerja, Bantuan Mobiliti dan Program Latihan di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk merangsang pengambilan pekerja oleh majikan,” katanya.– BERNAMA
Sumber: Astro AWANI