fbpx

PRN Melaka: Semua majlis rasmi kerajaan, swasta dilarang dari 4-27 November

Foto oleh Shafwan Zaidon

MELAKA: Semua majlis rasmi kerajaan dan swasta tidak dibenarkan diadakan di negeri ini dari 4 November hingga 27 November depan.

Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Negeri Melaka menerusi kenyataan Pelan Pemulihan Negara (PPN) prosedur operasi standard (SOP) Fasa Empat yang dikemas kini semalam memaklumkan selain itu, semua aktiviti perhimpunan atau majlis sosial berkaitan PRN Melaka termasuk majlis pelancaran jentera pilihan raya turut dilarang bermula 25 Oktober lalu hingga 27 November ini.

Turut tidak dibenarkan adalah sebarang aktiviti yang boleh menyebabkan kehadiran orang ramai ke suatu tempat sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan terhadap arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

Bagaimanapun, mesyuarat parti di Melaka dibenarkan bagi individu yang lengkap divaksin tertakluk kepada 50 peratus kapasiti ruang dengan pematuhan penjarakan fizikal.

Menurut MKN, sidang media selepas mesyuarat parti juga dibenarkan dengan pematuhan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 November dan undi awal pada 16 November, berikutan pembubaran DUN pada 4 Oktober lalu, susulan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepemimpinan ketua menteri.

Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57 peratus pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43 peratus, wanita. – BERNAMA







Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts