fbpx

Tiada tindakan disiplin ke atas kakitangan awam

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) merangkap Ahli Parlimen Mersing Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad. Foto: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Tiada penjawat awam dikenakan tindakan disiplin kerana enggan atau masih belum mahu mendapatkan pelalian COVID-19.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad, berkata setakat ini dianggarkan hanya 1.8 peratus daripada 1.6 juta kakitangan awam masih belum mengambil vaksin.

Katanya, jumlah penjawat awam yang belum mendaftar untuk divaksin kecil, namun imunisasi lengkap perlu, bagi memberikan keyakinan dan jaminan kepada orang awam serta memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan kerajaan.

“Dalam tempoh 10 hari ini selepas dilaksanakan, tiada sebarang tindakan disiplin diambil walaupun kerajaan mewajibkan semua pegawai awam Persekutuan mengambil dan melengkapkan vaksin COVID-19,” katanya menjawab soalan Chan Foong Hin (PH-Kota Kinabalu) yang di Dewan Rakyat, hari ini.

Foong Hin dalam soalannya ingin mengetahui statistik penjawat awam yang enggan terima atau belum sedia terima vaksinasi COVID-19 selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mewajibkannya mulai 1 November lalu.

Dr Abdul Latif menjelaskan arahan melalui pekeliling perkhidmatan awam itu untuk melindungi pegawai itu sendiri serta majoriti penjawat awam dan rakyat yang divaksin kerana masih terdapat risiko penularan pandemik COVID-19 di premis kerajaan.

Pada 18 Oktober lalu, JPA mengeluarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2021 Dasar Pelaksanaan Imunisasi COVID-19 Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam.

Pekeliling Perkhidmatan ini menetapkan pada atau selepas 1 November pegawai boleh diarahkan oleh ketua jabatan untuk mendapatkan dos pelalian COVID-19 yang lengkap dengan cara mengemuka Sijil Digital Vaksinasi COVID-19.

Pegawai yang gagal mematuhi arahan ketua jabatan boleh menyebabkan pegawai dikenakan tindakan tatatertib atau ditamatkan perkhidmatan.

Katanya, bagi memastikan pelaksanaan dasar ini berjalan lancar, ketua jabatan boleh mempertimbang apa-apa kaedah yang bersesuaian untuk menguruskan pegawai yang tidak mendapatkan atau melengkapkan suntikan vaksin COVID-19, termasuklah mengarahkan pegawai untuk membuat ujian pengesanan COVID-19.

Mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (PU(A) 395/1993), antara bentuk hukuman tatatertib boleh dikenakan kepada pegawai awam yang didapati melakukan kesalahan antaranya ialah amaran, denda, dilucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat atau dibuang kerja.

Tindakan tatatertib itu juga merangkumi hilang kelayakan untuk dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh tertentu mengikut jenis hukuman, seperti amaran (12 bulan), denda (18 bulan), lucut hak emolumen (24 bulan), tangguh pergerakan gaji (30 bulan), turun gaji (36 bulan) dan turun pangkat (48 bulan).

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (BERSATU-Sabak Bernam) mengenai tindakan disiplin kepada guru yang masih enggan divaksin, katanya, JPA mengeluarkan arahan tindakan tatatertib bagi memastikan sistem penyampaian dapat dipastikan secara optimum

“Dalam isu guru ini, mereka yang tidak mahu terima vaksin ini jelas mereka tidak menjalankan tugas sebagai pendidik. Kita boleh tukar mereka ini tetapi ini tidak selesaikan masalah.

“Apa yang dilaksanakan JPA ini semata-mata demi kepentingan perkhidmatan awam dan sistem penyampaian kepada rakyat,” katanya




Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews