KUALA LUMPUR: Keputusan mengenai dasar ‘walk in’ atau datang terus bagi mendapatkan suntikan dos penggalak akan diumumkan hari ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ketika menjelaskan perkara itu berkata mesyuarat berhubung dasar berkenaan akan dibincangkan secara lebih lanjut menerusi Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Penggalak (CITF-B) penggalak, petang ini.
Katanya, pengumuman antara lain bakal menyentuh mekanisme dan syarat bagi individu yang ingin hadir secara terus ke pusat pemberian vaksin untuk mendapatkan suntikan penggalak.
“Petang ini saya akan pengerusikan mesyuarat CITF-B dan keputusan akan diumumkan hari ini mengenai kemudahan ‘walk in’,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Destinasi Rawatan untuk Hepatitis C, sempena InsigHT2021, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan II, Mohd Shahar Abdullah; Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pelancongan Perkhidmatan Kesihatan Malaysia (MHTC), Mohd Daud Mohd Arif.
Khairy, Khamis lalu, dilaporkan berkata sebanyak 40 peratus golongan sasaran yang diberikan janji temu untuk mendapatkan pelalian dos penggalak vaksin COVID-19 tidak hadir untuk menerima suntikan masing-masing.
Situasi berkenaan jelas menimbulkan kebimbangan kerana jumlah kehadiran penerima untuk dos pertama dan kedua vaksin, sebelum ini menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah lebih tinggi iaitu 95 peratus.
Mengulas mengenai aduan segelintir penerima dos penggalak yang diarahkan balik apabila tiba di pusat pemberian vaksin (PPV), Khairy berkata suntikan hanya akan diberikan sekiranya mereka memenuhi prasyarat.
Jelasnya, ia meliputi cukup tempoh enam bulan selepas dos kedua bagi penerima vaksin Pfizer, manakala tiga bulan untuk yang diberikan Sinovac.
“Kalau tak cukup beberapa hari saja, kuasa budi bicara boleh digunakan di PPV untuk mereka diberikan suntikan dos penggalak.
“Tetapi jika tidak cukup tempoh beberapa minggu hingga sebulan, mereka akan diminta untuk datang semula dan janji temu bakal diberikan menerusi pemakluman di MySejahtera atau secara khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya.
Sumber: Berita Harian