fbpx

Lebih 30,000 unit kediaman tidak terjual – KPKT

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib. - Foto Jabatan Penerangan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 30,290 unit kediaman siap dibina bernilai RM19.75 bilion di seluruh negara yang tidak terjual setakat suku ketiga tahun ini.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Ismail Abdul Mutalib, berkata jumlah itu menunjukkan sedikit penurunan berbanding suku kedua tahun ini iaitu sebanyak 31,112 unit membabitkan nilai RM20.1 bilion.

“Terdapat penurunan kadar lambakan rumah yang tidak terjual walaupun tidak ketara kerana terdapat pemaju menurunkan harga atau memberikan diskaun bagi membolehkan bekalan rumah sedia ada dapat dijual dalam ketidaktentuan ekonomi masa kini.

“Ini dibuktikan dengan penurunan Indeks Harga Rumah pada suku ketiga 2021 pada 198.6 mata berbanding suku ketiga 2020 pada 199.9 mata yang menunjukkan penurunan sebanyak 0.7 peratus,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang meminta kerajaan menyatakan jumlah terkini rumah tidak terjual setakat September lalu.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, Johor menjadi negeri tertinggi merekodkan jumlah kediaman tidak terjual iaitu sebanyak 6,441 unit diikuti Pulau Pinang (4,648) dan Kuala Lumpur (3,863).

Selain itu, Selangor pula mencatatkan sebanyak 3,376 unit kediaman tidak terjual disusuli Perak (2,865), Sabah (2,742), Sarawak (1,862), Pahang (1,246), Negeri Sembilan (1,135), Kedah (637), Melaka (592), Terengganu (458), Putrajaya (229), Kelantan (114), Labuan (68) dan Perlis (24).

“Antara punca lambakan rumah tidak terjual ini berlaku adalah ekoran daripada penawaran perumahan yang tidak sepadan dengan permintaan di sesuatu lokaliti, harga rumah yang tidak sepadan dengan pendapatan isi rumah, lokasi yang kurang menarik dan lain-lain lagi.

“Pada masa yang sama, transaksi pembelian rumah sedia ada secara ‘subsale’ juga menyumbang kepada peningkatan rumah baharu yang tidak terjual,” katanya.

Beliau berkata, antara langkah utama yang diambil kementerian bagi menangani masalah lambakan rumah tidak terjual adalah melalui kempen pemilikan rumah, memperkenalkan peraturan panduan kepada pemaju perumahan dan melaksanakan kajian analisis data raya.

“Isu ini akan sentiasa diberi perhatian oleh kementerian dan penyelesaiannya memerlukan kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk pemain industri, kerajaan Persekutuan, kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi perbankan dan sebagainya.

“Saya yakin dengan langkah yang diatur ini, isu rumah tidak terjual akan dapat diatasi dalam masa terdekat,” katanya.

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts