fbpx

28 sudah dikompaun kerana langgar harga kawalan Keluarga Malaysia

Aris (kanan) memantau harga sayur-sayuran dalam program Walkabout Pemantauan dan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia di Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu hari ini. FOTO ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan 28 kompaun berjumlah RM7,900 terhadap peniaga yang melanggar peraturan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) yang dikuatkuasakan di seluruh negara, sejak 7 Disember lalu.

Timbalan Pengarah Penguatkuasaan (Pencegahan) Bahagian Penguatkusaan KPDNHEP Aris Mamat, berkata kompaun itu dikeluarkan susulan pemeriksaan terhadap 11,474 premis perniagaan di seluruh negara berikutan Penguatkuasaan Harga Maksimum Barangan Terpilih Di Bawah SHMKM.

Katanya, seramai 2,200 pegawai penguat kuasa KPDNHEP yang terbabit dalam pemantauan skim harga maksimum berkenaan dan antara kesalahan dikesan yang dilakukan oleh peniaga ialah tidak meletakkan tanda harga merah jambu, tiada tanda harga selain menjual melebihi had harga yang ditetapkan.

“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP akan berada di lokasi tumpuan orang ramai membeli-belah seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan bagi melindungi pengguna daripada aktiviti pengambilan untung berlebihan oleh peniaga.

“Pihak kementerian turut menyediakan pelbagai medium penyaluran aduan bagi memudahkan rakyat mengemukakan aduan,” katanya pada sidang media selepas Walkabout Pemantauan dan Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia di Pasar Besar Siti Khadijah, di sini, hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kelantan, Azanizam Affendi Juri.

Dalam perkembangan sama, Aris berkata, berdasarkan tinjauan yang dilakukan di Pasar Besar Siti Khadijah mendapati harga ayam dan sayur-sayuran mula menunjukkan trend penurunan.

“Kenaikan harga barangan keperluan sebelum ini adalah disebabkan keadaan cuaca selain kebergantungan kepada barang import bagi menampung keperluan rakyat.

“Bagaimanapun, pihak KPDNHEP sentiasa mengambil maklum berhubung isu kenaikan harga barang yang dilaporkan.

“Kerajaan memandang serius dalam menangani isu kenaikan harga barang pada masa kini dan KPDNHEP sudah melaksanakan SHMKM sebagai langkah untuk menstabilkan harga barangan keperluan pada masa ini di samping memastikan keberadaan bekalan di pasaran,” katanya.









Source: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews