fbpx

Proses pemulangan 11 jenazah warga Indonesia bermula semalam

Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia mengusung satu mayat lelaki yang dipercayai mangsa bot karam Tanjung Balau di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pengerang dekat Tanjung Batu Layar hari ini. Mayat tersebut ditemui terapung berdekatan dengan Kompleks LKIM Pengerang, lima batu nautika dari lokasi kejadian. Foto: BERNAMA

JOHOR BAHRU – Proses pemulangan jenazah warga Indonesia yang identiti telah dikenal pasti dalam kejadian bot karam di Tanjung Balau, Kota Tinggi pada 15 Dis lepas, mula dilaksanakan semalam melalui jalan laut.

Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di sini dalam kenyataan hari ini memaklumkan proses pemulangan itu melibatkan 11 jenazah dengan menggunakan Kapal Patroli Polisi Perairan Indonesia KP Laksamana 7012.

“Proses serah terima dilaksanakan di Johor Port, di sini kepada Satgas Misi Kemanusiaan Internasional yang terdiri daripada Kementerian Luar Negeri, Kepolisian Republik Indonesia dan Badan Perlindungan Pekerja Migran Indonesia (BP2MI),” menurut kenyataan itu.

KJRI turut menzahirkan penghargaan atas bantuan daripada semua pihak yang terlibat dalam proses pemulangan jenazah tersebut ke Indonesia.

“KJRI juga ingin menyampaikan ucapan belasungkawa atas pemergian warganegara Indonesia dalam musibah tersebut. Semoga keluarga yang ditinggalkan diberikan ketabahan dan keikhlasan,” menurut KJRI.

KJRI pada masa sama menasihati warganegara Indonesia yang akan bekerja di luar negara supaya mengikuti prosedur selamat dan tidak termakan pujukan pihak lain yang boleh membahayakan keselamatan diri sendiri.

Pada 15 Dis lepas, sebuah bot membawa kira-kira 50 pendatang tanpa izin warga Indonesia, karam di perairan Tanjung Balau, kira-kira 4.30 pagi yang mengorbankan 21 orang dan 13 terselamat, manakala 16 lagi dipercayai hilang. – BERNAMA








Sumber: Malaysia Gazette

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts