fbpx

Waris jenazah pesakit Covid-19 boleh buat tuntutan kos kepada JAIPs

Kangar: Waris jenazah pesakit Covid-19 di Perlis boleh melakukan tuntutan kepada Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) bagi menanggung keseluruhan kos yang dikenakan sepanjang menguruskan jenazah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kebajikan dan Bantuan Bencana, Hubungan dan Kerjasama Sempadan Negeri Perlis, Ruzaini Rais berkata, JAIPs melakukan inisiatif itu bagi membantu waris kepada si mati agar tidak dibebani dengan kos pengurusan jenazah Covid-19 yang dikatakan menelan perbelanjaan tinggi.

“Pada peringkat awal, JAIPs sudah mengarahkan supaya seluruh masjid di Perlis untuk menanggung kos menggali kubur di kariah masing-masing khusus bagi kes kematian Covid-19.

“Insentif ini kemudian diperluaskan kepada pembiayaan penuh kos pengurusan jenazah Covid-19 dengan melihat kepada keperluan semasa bermula November lalu.

“Oleh itu, pihak waris boleh membuat tuntutan daripada JAIPs bagi menanggung keseluruhan kos yang dikenakan sepanjang menguruskan jenazah itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, keputusan mewujudkan tabung berpusat ini sangat tepat dan selari dengan tuntutan syarak. “Oleh hal demikian, berbekalkan jumlah simpanan sebanyak RM250 secara minimum daripada 101 masjid yang diselia oleh jabatan ini, sedikit sebanyak mencerminkan kewajaran bagi membantu semua asnaf dan orang awam yang terkorban akibat pandemik Covid-19,” katanya.

Ruzaini berkata, tabungan itu juga akan berpusat di Masjid Negeri di Arau dan diurusetiakan oleh Bahagian Dakwah dan Pengurusan Masjid JAIPs.

“JAIPs percaya bahawa banyak pihak terjejas dan terkesan dengan pandemik ini, namun usaha perlu dilakukan bersama untuk berani keluar dari kepompong keselesaan kepada perjuangan meneruskan kehidupan norma baru termasuklah realiti menguruskan jenazah Covid-19.

“Selain itu, spekulasi liar dan tular tanpa asas perlu segera dibendung dan ini bukan masa untuk menuding jari serta saling menyalahkan, sebaliknya kesepaduan antara pihak yang menawarkan khidmat pengurusan jenazah perlu diaktifkan dengan menjunjung nilai kebajikan ummah, di samping mematuhi peraturan yang berkuat kuasa daripada kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, wujud dakwaan bahawa ada pihak pengurusan jenazah di negeri ini yang mengambil kesempatan mengenakan kos bayaran sehingga RM1,500 bagi pengurusan jenazah pesakit Covid-19.

Kos yang sepatutnya percuma atau sekitar RM300 sebaliknya dikenakan sehingga RM1,500 sebagai caj bayaran bagi penyempurnaan jenazah sehinggalah kepada proses pengebumian.

Sehingga semalam, berdasarkan data yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Perlis mencatatkan sebanyak 136 kes kematian akibat Covid-19.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts