fbpx

Kemasukan pertama 10,000 pekerja Indonesia ke Malaysia mulai Februari ini

KUALA LUMPUR: Malaysia dan Indonesia bersetuju, kemasukan kumpulan pertama pekerja atau Perkhidmatan Domestik Indonesia (PDI) dilaksanakan seminggu selepas memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani pada 7 dan 8 Februari nanti.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata sebagai permulaan melalui projek rintis pengambilan sejumlah 10,000 PDI dilaksanakan.

“Projek rintis ini amat penting dan signifikan untuk menilai keberkesanan pelaksanaan MOU dan seterusnya menambah baik sebarang kelemahan yang timbul,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perkara itu adalah di antara intipati MoU akan ditandatangani pada 7 dan 8 Februari ini di Bali, sebagaimana yang dibincangkan terdahulu kedua-dua negara.

MoU PDI itu ditandatangani buat pertama kalinya pada 13 Mei 2006 di Bali, Indonesia dan susulan itu, Protokol Meminda MoU PDI ditandatangani pada 31 Mei 2011 di Bandung, Indonesia yang tamat pada 30 Mei 2016.

Pemeteraian MoU PDI perlu dilaksanakan segera kerana Indonesia hanya akan membenarkan kemasukan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) ke Malaysia bagi sektor perladangan selepas MoU PDI dimuktamadkan.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 April dan 12 November lalu bersetuju dengan kemasukan pekerja warga asing sektor perladangan ke Malaysia secara pengecualian khas.

Saravanan menjelaskan, dalam pertemuan beliau dengan rakan sejawatannya Menteri Ketenagakerjaan Republik Indonesia, Ida Fauziyah, di Jakarta hari ini, turut dipersetujui mengenai hanya ada satu saluran tunggal dilaksanakan bagi kemasukan PDI termasuk pembantu rumah ke negara ini.

Beliau berkata, perkara lain yang dipersetujui berhubung isu satu rumah satu pembantu rumah satu dan gaji PDI.

“Perbincangan berhubung ‘One Maid One House’ dipersetujui untuk menggantikan cadangan ‘One Maid One Task’ yang mana satu PDI boleh digajikan bagi isi rumah tidak melebihi enam orang.

Katanya, Malaysia dan Indonesia juga setuju struktur kos pengambilan akan dikaji setiap enam bulan bagi memastikan ia seiring dengan perkembangan semasa mengambil kira antaranya seperti kos penerbangan dan kuarantin.

Di samping itu, pihak Indonesia juga bersetuju membenarkan kemasukan 10,000 tenaga kerja warga Indonesia untuk sektor perladangan.

“Ini adalah sebagai permulaan kepada pengambilan 32,000 pekerja warga asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas sebagaimana keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 April 2021,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews