fbpx

Jais jawab isu lelaki mimpi peristiwa akhir zaman

Shah Alam: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengesahkan dakwaan isu ajaran mimpi peristiwa akhir zaman seorang lelaki, bukan berlaku di Selangor.

Sehubungan itu Pengarah Jais, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya tiada kuasa untuk mengambil tindakan terhadap lelaki berkenaan.

“Berdasarkan siasatan awal Jais, lelaki yang disyaki tidak melakukan perbuatan itu di dalam negeri Selangor.

“Justeru, Jais tidak mempunyai kuasa untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan kerana perkara terbabit berada di luar bidang kuasa Jais,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar tempatan bertarikh 26 Januari mengenai ajaran mimpi seorang lelaki bernama Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa mengetahui peristiwa akhir zaman melalui mimpi.

Bagaimanapun Mohd Shahzihan berkata, Jais akan bertindak tegas terhadap mana-mana individu dalam kalangan orang Islam di dalam Selangor yang mempercayai, berpegang teguh, menyebar, mempengaruhi, mengikuti atau memperakui pandangan pernyataan mimpi-mimpi Muhammad Qasim.

“Tindakan tegas ini akan diambil selaras dengan peruntukan yang ditetapkan oleh undang-undang mengenai perkara berkenaan.

“Jais menyeru kepada masyarakat supaya tidak mudah terpedaya dengan keyakinan terhadap perkara berkaitan agama yang bersifat terpencil dari pengetahuan awam kerana kebenaran dalam agama Islam khususnya dalam soal akidah adalah bersifat majoriti.

“Tambahan pula, sejarah merakamkan banyak pemesongan dan penyelewengan akidah menggunakan propaganda mimpi-mimpi yang dikaitkan dengan kejadian tertentu dan individu tertentu sebagai hujah atau sumber keyakinan baharu dalam beragama,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews