fbpx

Kos bahan mentah, logistik punca kenaikan harga barang

KUALA LUMPUR: Kos bahan mentah dan logistik terutama pengangkutan serta gudang yang meningkat sehingga 30 peratus antara punca kenaikan harga barang keperluan.

Presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai, berkata kos alat ganti dan pembungkusan juga turut meningkat antara 11 hingga 15 peratus, selain peningkatan kos buruh sebanyak enam hingga 10 peratus.

“Berdasarkan tinjauan FMM, kenaikan harga barang keperluan kebanyakannya disebabkan oleh bahan yang diimport.

“Namun peningkatan terbesar dalam komponen kos dialami syarikat adalah disebabkan oleh kos bahan mentah dan logistik yang melebihi 30 peratus.

“Bagaimanapun kenaikan harga barang bukan baharu dan berdasarkan pemerhatian, kos makanan segar lebih tinggi sejak September 2021 manakala kos logistik meningkat sejak Julai 2021,” katanya kepada BH.

Thian Lai berkata, berdasarkan tinjauan pihaknya, kenaikan kos juga akan menyebabkan harga plastik, produk plastik, minuman, makanan, tembakau dan barangan elektrik serta elektronik meningkat.

“FMM menjangkakan harga mungkin akan dinaikkan sebanyak satu sehingga lima peratus walaupun terdapat beberapa responden yang menunjukkan kenaikan antara enam sehingga 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata, kenaikan harga barang boleh dikurangkan jika bekalan tempatan dijadikan pengganti sama dengan bahan diimport, selain mengawal kos logistik.

“Bagaimanapun, untuk pelan jangka pendek, banyak syarikat sudah mengambil langkah proaktif mengurangkan kos dalaman dengan menggunakan bahan lebih murah untuk kekal berdaya saing dalam perusahaan serta mengelak kerugian,” katanya.

Justeru Thian Lai berkata, dalam usaha mengawal kenaikan harga barang, pelbagai agensi kerajaan perlu campur tangan bagi memastikan inflasi dapat dikawal terutamanya bagi barangan keperluan.

Selain itu katanya, oleh kerana baru memasuki tahun baharu pihaknya berkeyakinan tinggi negara mampu mencapai pemulihan yang pantas daripada krisis COVID-19 yang banyak menjejaskan pertumbuhan ekonomi, sosial dan pembangunan negara sejak dua tahun lalu.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts