KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menafikan mengeluarkan amaran berhubung sindiket culik yang menyasarkan kanak-kanak bagi mendapatkan organ.
Superintendan Komunikasi Korporat PDRM Bukit Aman, Superintendan A Skandaguru, berkata pihaknya mengesan sebaran mesej palsu itu di media sosial yang kononnya dikeluarkan oleh Gerakan IPK Bukit Aman.
“Mesej itu memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya berwaspada dengan sindiket penculikan menggunakan kereta Proton Wira dan sebuah van putih yang menyasarkan kanak-kanak serta remaja berusia di bawah 15 tahun bagi mendapatkan organ tertentu untuk dijual.
“Mesej sama juga menyenaraikan harga bagi organ dijual seperti jantung, hati, paru-paru, buah pinggang dan mata,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tiada laporan polis diterima berkaitan kes penculikan dan penjualan organ manusia seperti didakwa.
Katanya, semakan mendapati mesej palsu itu tular sejak 2016 dan kembali diulang siar di beberapa platform media sosial, malah tiada sebarang amaran sedemikian pernah dikeluarkan oleh pihak Bukit Aman.
Justeru, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya dengan berita tidak berasas dan tidak ditentukan kesahihannya.
Katanya, tindakan berkongsi atau menyebar berita sedemikian akan menimbulkan kegusaran dan kebimbangan kepada masyarakat.
Sumber: Berita Harian