fbpx

Cabaran Malaysia di Sukan Olimpik Musim Sejuk berakhir

Foto from: Olympic Council of Malaysia

Kuala Lumpur: Cabaran atlet Malaysia di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022 di Beijing, China, berakhir apabila atlet lelaki negara Jeffrey Webb mengakhiri perjuangan dengan keputusan kurang memuaskan.

Jeffrey yang bersaing dalam acara slalom lelaki di Pusat Ski Alpine Nasional Yanging mengakhiri aksi pertamanya dengan DNF (gagal menamatkan perlumbaan) sekali gus tidak layak untuk bersaing pada perlumbaan kedua acara itu.

Walaupun gagal memperbaiki pencapaian pada penyertaannya empat tahun lalu pada edisi 2018 di Pyeongchang, Korea Selatan namun kehadirannya bersama seorang lagi peluncur alpine ski negara, Aruwin Salehhuddin di temasya terbabit cukup membanggakan negara.

Jeffrey berkata, walaupun Malaysia tidak mempunyai salji namun bukanlah penghalang untuk atlet tanah air beraksi di temasya berkenaan.

“Tidak mustahil buat mana-mana rakyat Malaysia untuk berjaya dalam sukan musim sejuk. Anda perlu sentiasa percaya dengan diri sendiri dan berusaha keras untuk mencapai impian.

“Selain saya, Julian Yee dan Aruwin (Salehhuddin) membuktikan rakyat Malaysia juga boleh layak dan bersaing di pentas Sukan Olimpik Musim Sejuk,” katanya.

Jeffery yang kini menuntut pengajian dalam bidang ekonomi di Michigan State University, hanya beraksi satu acara kali ini berbanding dua sewaktu edisi 2018 menyaksikan dia meraih No 68 bagi kategori Giant Slalom.

Selain Jeffrey, satu lagi wakil negara di Beijing iaitu Aruwin pula meraih tempat 38 untuk acara Giant Slalom sebelum mengalami nasib sama diklasifikasikan DNF bagi kategori Slalom.

Sebagai rekod, edisi Pyeongchang 2018 adalah kali pertama penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik Musim Sejuk diwakili Jeffrey dan Julian yang gagal melangkah ke pusingan akhir acara figure skating individu lelaki.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews