fbpx

Peluang Jeffrey tebus kecewa

KUALA LUMPUR: Atlet ski alpine negara, Jeffrey Webb sudah bersedia sepenuhnya bagi memulakan aksi dalam acara slalom lelaki di Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, esok.

Pengurus pasukan, Salehhuddin Ayob, berkata sasaran buat atlet berusia 24 tahun itu adalah untuk dia menamatkan saingan pada aksi yang akan berlangsung Pusat Alpine Skiing Kebangsaan Yanging itu.

“Kami berharap dia akan mempamerkan prestasi terbaik dan menunjukkan kemampuan sebenarnya.

“Bagi acara slalom, sukar untuk kita membuat ramalan kerana ia berlaku sangat pantas dan jumlah atlet yang gagal menamatkan saingan mungkin tinggi seperti mana yang kita dapat lihat dalam saingan wanita.

“Jadi, sasaran kami adalah untuk dia menamatkan saingan dan kami tahu dia akan melakukan yang terbaik bagi mencapainya,” kata Salehhuddin.

Sebagai rekod, ini adalah penampilan kedua Jeffrey di temasya terbesar dunia itu selepas mencipta sejarah menjadi antara dua atlet Malaysia yang pertama selain peluncur ais, Julian Yee beraksi di Sukan Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang 2018.

Di Pyeongchang, Jeffrey yang berasal dari Selangor menamatkan aksi di kedudukan ke-68 bagi acara giant slalom namun tidak berjaya menamatkan saingan acara slalom lelaki.

Jeffrey akan memulakan cabaran untuk saingan Run 1 pada sebelah pagi dan sekiranya layak dia akan beraksi dalam saingan Run 2 di sebelah petang bagi perebutan pingat.

Minggu lalu, atlet ski alpine wanita negara, Aruwin Salehhuddin yang layak secara merit ke Beijing menamatkan aksi pertamanya dalam acara giant slalom dengan berada di kedudukan ke-38 namun gagal mengekalkan momentum berkenaan apabila gagal menamatkan saingan Run 1 acara slalom.

Penyertaan Aruwin kali ini menyaksikan dirinya muncul selaku atlet wanita pertama negara yang mewakili kontinjen negara dalam Sukan Olimpik Musim Sejuk selepas buat julung kali Malaysia berada dalam senarai temasya di Pyeongchang pada 2018.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews