fbpx

Jangan balik awal Harimau Muda!

Foto: FAM

KUALA LUMPUR: Skuad bawah 23 (B-23) tahun negara perlu melupakan peristiwa memalukan di Stadium Prince, Phnom Pehn, Kemboja, Jumaat lalu.

Kekalahan mengejut 2-1 di tangan Laos dalam aksi sulung Kumpulan B, Kejuaraan B-23 Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) itu sukar untuk diterima terutama dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.

Justeru, Harimau Muda perlu bangkit dengan permainan yang lebih kemas untuk merobek gawang Laos apabila kedua-dua pasukan itu sekali lagi akan bertembung dalam aksi terakhir kumpulan, hari ini.

Aura gelanggang berbeza, Stadium Nasional Morodok Techno diharap membawa tuah kepada anak buah Brad Maloney yang memerlukan kemenangan sekurang-kurang dua gol tanpa balas untuk melangkah ke separuh akhir.

Bagaimanapun, skuad negara tidak boleh mengharapkan sepenuhnya kepada ‘tuah gelanggang’ kerana perkara paling utama dalam bola sepak adalah Maloney perlu membentuk percaturan terbaik bagi memastikan skuadnya tidak ditunjukkan jalan keluar oleh Laos.

Sekiranya itu berlaku, ia pasti mengundang kecaman lebih hebat buat kem negara kerana Laos sebelum ini hanya dilabel sebagai lubuk kemenangan buat pasukan negara sama ada di peringkat senior atau junior.

Cukuplah dengan skuad senior Harimau Malaya berdepan kekecewaan apabila terpaksa balik awal dari Piala AFF 2020 sebelum ini dan nasib sama perlu dielak skuad muda negara di Kemboja.

Tiada yang mustahil untuk skuad negara menundukkan Laos dan melangkah ke separuh akhir selaku juara kumpulan dengan syarat Harimau Muda perlu mengaum lebih garang berbanding aksi pertama sebelum ini.

Berita skuad negara ‘diserang’ COVID-19 dengan tiga pemain, Abdul Hanafie Tokyo, Zainal Abidin Jamil dan T Saravanan serta penolong jurulatih, Khan Hung Meng disahkan positif virus itu menggusarkan sebahagian peminat mengenai persiapan pasukan untuk mengharungi aksi hidup mati berdepan Laos.

Namun, apa yang diharapkan ketika ini adalah supaya tiada lagi pemain lain positif COVID-19 yang mana pasti boleh memeningkan lagi kepala Maloney untuk mencatur strategi memerangkap Laos.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews