fbpx

Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 tidak sah, terbatal

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tidak mempunyai kuasa untuk membuat enakmen yang memberi kuasa kepada mahkamah tinggi syariah negeri menyemak semula fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa agama negeri.

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, sehubungan itu sebulat suara mengisytiharkan Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.

Seksyen itu memberikan kuasa kepada mahkamah tinggi syariah untuk menggunakan bidang kuasanya bagi mendengar dan membenarkan permohonan semakan kehakiman terhadap keputusan yang dibuat majlis atau jawatankuasa dalam menjalankan tugas di bawah enakmen itu.

Perkara itu diputuskan oleh mahkamah selepas membenarkan permohonan Sisters In Islam (SIS) Forum (Malaysia)

untuk menentukan persoalan undang-undang bagi mencabar keperlembagaan enakmen berkenaan.

Tengku Maimun yang membacakan penghakiman berkata, tafsiran frasa dan tujuan Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan, tidak sesekali bertujuan untuk memberikan kuasa semakan kehakiman kepada mahkamah syariah hanya dengan mentakrifkan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai seorang Islam.

Sifat semakan kehakiman adalah membabitkan badan penyeliaan dan pentadbiran dengan merujuk kepada kuasa undang-undang awam yang terletak pada mereka, dan ia tidak mengambil kira agama.

“Pembacaan seksyen 66A dengan pada masa sama menganalisa asas semakan kehakiman di negara ini, saya dapati seksyen 66A enakmen itu adalah tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah kerana ia satu peruntukan yang mana DUN Selangor tidak ada kuasa untuk membuatnya,” katanya.

Pada 22 September tahun lalu, Mahkamah Persekutuan memberikan kebenaran kepada SIS untuk meneruskan tindakan perundangannya di Mahkamah Persekutuan menerusi Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan.

SIS memohon kebenaran itu untuk mendapatkan satu deklarasi bahawa Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 adalah tidak sah.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts