fbpx

Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 berkuat kuasa hari ini

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin pada sidang akhbar mengenai Wacana Meja Bulat bersama Menteri Dalam Negeri di Putrajaya pada 12 April 2021.- GAMBAR FAISOL MUSTAFA

KUALA LUMPUR: Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 (Akta A1644) akan berkuat kuasa hari ini setelah mendapat perkenan diraja pada 19 Jan lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata Akta A1644 yang telah dimasukkan ke dalam warta pada 25 Jan lepas diharap mampu memberi solusi terbaik dalam menzahirkan usaha Malaysia menangani jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dengan lebih efektif.

Beliau berkata akta itu merupakan instrumen perundangan utama negara dalam mendepani isu perhambaan zaman moden sekali gus membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia.

“Dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan tindakan menangani kedua-dua jenayah yang dinyatakan, pindaan kepada akta ini telah dilaksanakan bagi memperkasa peruntukan berkaitan.

“Secara keseluruhannya, terdapat 17 peruntukan dipinda dengan penambahbaikan yang melibatkan pindaan bagi perkara-perkara yang berikut (antaranya) pindaan kepada tafsiran pemerdagangan orang dan pemansuhan tafsiran paksaan serta peningkatan hukuman penjara dan pengenaan hukuman sebatan,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau berkata pindaan lain membabitkan peruntukan kesalahan yang lebih berat termasuk penjawat awam dan pewujudan kuasa menteri dalam pelantikan mana-mana pegawai awam sebagai penguatkuasa di bawah Akta 670.

Hamzah berkata pindaan turut melibatkan penambahan keanggotaan organisasi lain dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO).

Katanya pindaan itu juga melibatkan peluasan peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam pengurusan serta kawalan pegawai pelindung selain rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang.

Beliau berkata pendekatan menyeluruh kerajaan dan pendekatan menyeluruh masyarakat yang digunakan diyakini mampu menambah baik kedudukan Malaysia dalam sebarang penilaian antarabangsa sekali gus meningkatkan imej negara di mata masyarakat dunia.

“Seluruh lapisan masyarakat diseru untuk bersama-sama berganding bahu bersama kerajaan bagi membanteras jenayah ini dengan melaporkan sebarang maklumat melalui Chatbot di laman Facebook MAPO, e-mel [email protected] dan talian 03-8000 8000,” katanya.

Disember lepas, media melaporkan Persidangan Dewan Negara meluluskan Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021.

Rang undang-undang itu bertujuan memastikan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) selaras dengan kehendak Protokol Palermo dan Konvensyen ASEAN bagi Menentang Pemerdagangan Manusia terutama Wanita dan Kanak-Kanak (ACTIP).– BERNAMA

Sumber: Astro Awani

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews