fbpx

KWSP umum agihan dividen simpanan konvensional 6.10 peratus

Kuala Lumpur: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hari ini, mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.10 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Shariah bagi tahun 2021.

Jumlah agihan terkumpul untuk 2021 sebanyak RM56.72 bilion.

Pengerusi KWSP Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata, KWSP berjaya mengekalkan kestabilan dan berdaya tahan untuk tahun 2021.

Beliau berkata, sebahagiannya adalah kerana KWSP mempunyai kedudukan portfolio yang kukuh dan pelaburan yang pelbagai di peringkat global.

“Pengeluaran sebanyak RM101 bilion akibat pandemik menyebabkan 48 peratus ahli KWSP mempunyai kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka.

“KWSP berharap dividen ini dan prestasi berterusan KWSP akan membantu ia dalam memulakan proses membina semula simpanan persaraan ahlinya, ketika pemulihan ekonomi berlaku sepanjang tahun ini,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kebimbangan utama lanjutan daripada pengeluaran itu adalah kesannya ke atas kecukupan persaraan ahli.

Katanya, bagaimanapun, KWSP tetap mempunyai keupayaan dan ketangkasan untuk bertindak dengan impak yang minimum terhadap pasaran kewangan, walaupun terpaksa menghadapi cabaran mengurus kecairan akibat aliran keluar ini.

“Untuk 2021, KWSP sudah mengimbangi semula dan mengurus portfolio pelaburannya dengan membeli saham yang kukuh pada harga yang menarik, selain memanfaatkan pelaburan luar negara, yang menyumbang 56 peratus kepada pulangan keseluruhan.

“Setakat 31 Disember 2021, KWSP mencatatkan peningkatan enam peratus dalam jumlah pendapatan pelaburan kasar kepada RM67.06 bilion daripada RM63.45 bilion pada 2020, didorong oleh pemulihan pasaran ekuiti dan sebahagian besar kelas aset semasa pemulihan global,” katanya.

Beliau berkata, pengkreditan dividen untuk Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah akan dilaksanakan pada Ahad, 6 Mac 2022.

Justeru, katanya, ahli boleh menyemak akaun mereka melalui i-Akaun atau mendapatkan penyata dari kiosk KWSP di seluruh negara.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews