fbpx

1MDB: Tidak timbul isu kegagalan agensi penguat kuasa

Photo: Reuters

Kuala Lumpur: Tidak timbul isu kegagalan mana-mana agensi penguat kuasa untuk mengesan, menyiasat dan mendakwa apa-apa kesalahan dalam transaksi kewangan membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) seperti dibangkitkan segelintir pihak.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan pihaknya merujuk kepada pendedahan saksi utama, Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara, Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat berkaitan kes dana 1MDB membabitkan Datuk Dr Tawfiq Ayman iaitu suami bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Harus dijelaskan bahawa isu ini bukan sesuatu yang baharu. Bekas Peguam Negara pada hujung 2018 sudah menyelaraskan koordinasi siasatan antara SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung dengan kes ini.

“Menerusi koordinasi itu, fokus SPRM adalah untuk mengenal pasti serta mendapatkan semula dana terkait dengan kes 1MDB termasuk sejumlah AS$15.4 juta (kira-kira RM64 juta) membabitkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik Tawfiq,” katanya.

Menurutnya, SPRM ada mengeluarkan kenyataan media mengesahkan pemulangan terbabit pada 19 November 2021.

Katanya, Pejabat Peguam Negara juga mengarahkan PDRM untuk menumpukan kepada aspek kesalahan jenayah berhubung penerimaan wang terbabit ke dalam akaun milik Tawfiq di Singapura dan siasatan masih berjalan sehingga kini.

“Penyelarasan ini adalah untuk mengelakkan pertindihan dalam siasatan membabitkan pengumpulan bukti-bukti dan keterangan mereka yang terbabit.

“Ia juga sebagai kemudahan untuk berurusan bersama pihak Singapura yang memberi keutamaan kepada satu agensi penguat kuasa menjalankan siasatan kesalahan jenayah.

“Justeru itu, tidak timbul isu kegagalan mana-mana agensi penguat kuasa untuk mengesan, menyiasat dan mendakwa apa-apa kesalahan dalam transaksi kewangan terbabit seperti dibangkitkan segelintir pihak,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Tawfiq menafikan dakwaan rasuah terhadapnya oleh Leissner pada prosiding perbicaraan yang dikaitkan dengan 1MDB di New York, Amerika Syarikat.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews