fbpx

KKM akan putuskan perubahan SOP umrah

fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Kuala Lumpur: Sebarang perubahan prosedur operasi standard (SOP) umrah susulan keputusan Arab Saudi membatalkan kebanyakan sekatan Covid-19, termasuk tidak lagi mewajibkan ujian PCR atau RTK sebelum tiba ke negara itu, akan diputuskan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementeriannya sudah berbincang dengan KKM berhubung perkara ini, memandangkan hal berkaitan ujian Covid-19 dikawal selia KKM.

“Motac mengambil maklum keputusan Arab Saudi yang membatalkan kebanyakan sekatan termasuk tidak lagi mewajibkan pelawat divaksin menunjukkan hasil ujian negatif PCR atau RTK sebelum tiba ke negara itu, atau diwajibkan menjalani kuarantin.

“Sebarang perubahan dan keputusan berkaitan yang diputuskan KKM seterusnya akan dibentangkan dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama-sama dengan beberapa pindaan lain yang bertujuan memudahkan ibadah umrah,” katanya menerusi WhatsApp kepada BH, di sini, malam ini.

Media melaporkan Arab Saudi membatalkan kebanyakan sekatan Covid-19, bermula Sabtu berikutan kemajuan program vaksinasi serta kadar imuniti keseluruhan yang tinggi.

Menurut laporan Agensi Berita Saudi (SPA) yang memetik sumber Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, selain tidak mewajibkan pelawat divaksin menunjukkan hasil ujian negatif PCR atau RTK sebelum tiba ke negara itu, kini tiada lagi langkah penjarakan fizikal dikenakan di semua kawasan tertutup dan terbuka termasuk di masjid.

Selain itu, pemakaian pelitup muka juga hanya diwajibkan di kawasan tertutup, berdasarkan keputusan terbaharu itu yang berkuat kuasa semalam.

Langkah itu disifatkan bakal memudahkan urusan jemaah haji dan umrah ke negara itu dan disambut baik agensi pelancongan dan umrah di negara ini termasuk Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra).

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews