fbpx

Liverpool mungkin tanpa Salah di Emirates

LONDON: Mohamed Salah dijangka tidak dapat diturunkan menentang Arsenal selepas peledak berbisa Liverpool itu tidak mengikuti sesi latihan semalam.

Liverpool akan bertandang ke Emirates esok, tetapi mungkin tanpa kelibat penyerang Mesir itu yang terpaksa dikeluarkan ketika kemenangan di Brighton.

Salah terus menuju ke bilik persalinan sebaik digantikan ketika aksi menentang The Seagulls Sabtu lalu, hanya lima minit selepas dia menyempurnakan sepakan penalti untuk meletakkan pasukannya 2-0 di depan.

Selepas perlawanan, pengendali Liverpool Jurgen Klopp mendedahkan penyerangnya itu cedera di bahagian kaki akibat dihadang ketika sedang menyepak bola.

“Dia rasa tidak serius tetapi apabila anda melihat Salah duduk, ada sesuatu yang tidak kena,” kata Klopp.

Kemenangan ke atas Brighton meletakkan Liverpool tiga mata di belakang Manchester City, dan selepas pendahulu Liga Perdana Inggeris itu diikat Crystal Palace semalam, mereka kini empat mata di belakang.

Liverpool yang bermain kurang satu perlawanan berpeluang merapatkan jurang kepada satu mata esok dan khidmat Salah amat penting untuk mengatasi Arsenal kendalian Mikel Arteta yang juga berada pada prestasi terbaik.

Penalti Salah itu adalah gol ke-28nya musim ini dan ke-20 dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Dia meledak empat gol dalam empat perlawanan terakhir liga dan membuat satu umpanan gol.

Arsenal menang lima perlawanan terakhir liga mereka dan hanya tewas sekali dalam 11 perlawanan – 2-1 kepada Manchester City pada Tahun Baru. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts