fbpx

Pengguna lega kadar tol kekal

Photo: Mukhriz Hazim/Malaysiakini

Kuala Lumpur: Keputusan kerajaan mengekal dan tidak menaikkan kadar tol bagi empat syarikat konsesi di sekitar Lembah Klang melegakan banyak pihak terutama ketika rakyat masih bergelut dengan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Dr N Marimuthu berkata langkah itu yang terbaik mengambil kira tahap kewangan majoriti rakyat yang masih tidak menentu ketika ini.

“Kita perlu faham semua orang susah ekoran pandemik ini, jadi keputusan mengekalkan kadar tol adalah yang terbaik kerana ia tidak menambah lagi beban rakyat, ini penting.

“Lagi pula bukan kesemua syarikat konsesi berkenaan melakukan penambahbaikan terhadap perkhidmatan diberikan biarpun kadar tol sudah dinaikkan. Mungkin selepas keadaan ekonomi semakin baik boleh juga dipertimbang untuk kurangkan kadar tol,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju untuk mengekal dan tidak menaikkan kadar tol bagi empat syarikat sehingga tamat konsesi melalui langkah penstrukturan semula syarikat berkenaan.

Keempat-empat syarikat konsesi itu ialah Kesas Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd yang menguruskan Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd yang menguruskan Lebuhraya Damasara – Puchong (LDP).

Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) Kamarudin Mohd Hussain berkata keputusan kerajaan itu bakal memanfaatkan kira-kira 12,000 pemandu teksi persendirian di sekitar Lembah Klang yang menggunakan empat laluan lebuhraya itu setiap hari.

Katanya dengan keadaan rakyat masih dalam proses pemulihan untuk membina kehidupan, adalah tidak munasabah untuk menaikkan kadar tol ketika ini.

Beliau berkata mungkin sudah tiba masanya kerajaan mengkaji keperluan untuk mengurangkan kadar bayaran tol bagi mengurangkan beban rakyat.

“Kalau boleh kaji seberapa banyak kadar tol yang dapat dikurangkan kerana kita tahu kebanyakan mereka yang menggunakan laluan lebuh raya ini adalah yang bekerja di pusat bandar. Jadi ia memang satu keperluan,” katanya.

Seorang pengguna SMART, Gareth Dawum, 33, pula berkata tindakan tidak menaikkan kadar tol buat masa ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam membantu rakyat menyesuaikan diri dengan keadaan ekonomi semasa yang tidak menentu.

“Kita sudah dibebani dengan kos hidup yang semakin tinggi, jadi penangguhan kadar tol sedikit melegakan kerana saya sendiri membelanjakan kira-kira RM300 sebulan untuk ke tempat kerja di pusat bandar dari Serdang dengan melalui tol SMART,” kata penulis kandungan dan pengurus strategi media sosial itu.

Bagi eksekutif pengiklanan Mohamed Khairul Azhar, 37, pula, dalam keadaan ekonomi yang baru sahaja kembali rancak selepas pandemik, kadar tol tidak seharusnya dinaikkan, lebih-lebih lagi apabila terdapat segelintir masyarakat masih berusaha mencari pekerjaan setelah kehilangan kerja dalam tempoh itu.

“Jadi mengambil kira faktor ini, adalah wajar untuk tidak menaikkan kadar tol secara mengejut,” katanya yang kerap menggunakan lebuh raya SMART dan LDP untuk pergi ke tempat kerja di Subang dari Taman Connaught, Cheras.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews