fbpx

ABIM syor guna istilah Bahasa Melayu-Nusantara

Foto: Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengangkat Bahasa Melayu untuk dijadikan bahasa rasmi kedua blok ASEAN perlu disambut baik dengan kesepakatan bersama.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhammad Faisal Abdul Aziz, berkata ia sejajar fungsi Bahasa Melayu sebagai pengantar utama ketika alam Melayu menjadi pusat peradaban bagi rantau Asia Tenggara suatu ketika dulu.

Selain itu, beliau berkata, dalam persuratan Indonesia sebelum merdeka, bahasa yang digunakan adalah ‘bahasa Melajoe’ yang merujuk Bahasa Melayu dalam ejaan pengaruh Belanda.

“Namun, selepas Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928, nama Bahasa Indonesia dalam pernyataan jati diri tiga serangkai digunakan seperti- “Bertanah air yang satu – Negara Indonesia, Berbangsa yang satu – Bangsa Indonesia, Berbahasa yang satu – Bahasa Indonesia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ia juga bersandarkan keputusan nombor lapan Kongres Bahasa Indonesia Kedua yang diadakan di Medan pada 28 Oktober sehingga 2 November 1954.

“Asal dan dasar Bahasa Indonesia adalah Bahasa Melayu yang disesuaikan dengan pertumbuhannya dalam masyarakat Indonesia sekarang. Penggunaan istilah Bahasa Melayu juga disifatkan meluas merentas negara, digunakan oleh mana-mana rumpun Melayu dan di rantau di dunia,” katanya.

Justeru, Muhammad Faisal menegaskan, Bahasa Melayu seharusnya menjadi medan menyatukan warga Alam Melayu.

“Sebagai jalan tengah mengelakkan polemik serta pertelagahan istilah yang merugikan, ia boleh diselesaikan dengan penggunaan istilah menyatu seperti ‘Bahasa Melayu-Nusantara’.

“Penting untuk kita bersama mengangkat semula Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM), badan kebahasaan serantau untuk merancang dan memantau perkembangan Bahasa Melayu khazanah kosmopolitan rantau nusantara,” katanya.

Semalam, Menteri Pendidikan, Kebudayaan, Penyelidikan dan Teknologi Indonesia, Nadiem Makarim dilaporkan menolak cadangan Malaysia untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi kedua blok ASEAN.

Beliau mendakwa, Bahasa Indonesia pilihan lebih baik untuk digunakan sebagai bahasa utama bagi ASEAN kerana ia paling banyak digunakan di Asia Tenggara, dengan penggunaannya tersebar di lebih 47 negara.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews