fbpx

Usah leka, teruskan pakai pelitup muka – Dr Noor Hisham

Foto: Hari Anggara

PUTRAJAYA: Orang ramai diingatkan jangan leka dan terus memakai pelitup muka, terutama di kawasan berisiko tinggi untuk jangkitan, walaupun negara sudah memasuki fasa peralihan ke endemik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ancaman bahaya virus SARS-CoV-2 tidak boleh diabaikan sama ada ketika dalam fasa peralihan ke endemik mahupun fasa endemik.

Beliau menjelaskan, ini kerana virus SARS-CoV-2 amat mudah merebak melalui titisan cecair atau titisan saluran pernafasan (respiratory droplets).

“Masyarakat harus tetap berwaspada kerana virus ini masih wujud dan menular serta mengakibatkan kematian, terutama dalam kalangan warga emas, kanak-kanak mempunyai sistem imuniti tubuh yang rendah, dan individu ada komorbid.

“Walaupun sebahagian besar penduduk Malaysia sudah menerima vaksin COVID-19 bagi dos primer, amalan pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal yang munasabah masih perlu diteruskan oleh setiap individu dalam fasa peralihan ke endemik.

“Ia bagi memberi perlindungan berterusan kepada golongan berisiko tinggi. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pemakaian pelitup muka ialah antara langkah pencegahan yang dapat mengurangkan penularan virus SARS-CoV-2, terutama di kawasan berisiko tinggi untuk jangkitan seperti tempat tertutup dengan pengudaraan tidak baik, tempat sesak, dan tempat individu melakukan interaksi jarak dekat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, saranan itu selaras penjelasan Dr Mike Ryan daripada WHO bahawa istilah endemik merujuk kepada kejadian suatu penyakit sentiasa wujud dalam masyarakat atau sesuatu tempat, namun jangkitan berlaku pada kadar yang stabil.

“Bagaimanapun, ada kemungkinan berlaku peningkatan penularan secara bermusim ataupun gelombang jangkitan yang besar bersekali dengan peningkatan kejadian penyakit yang serius.

“Dr Mike Ryan juga mengingatkan ada beberapa penyakit seperti Human Immunodeficiency Virus (HIV), tuberkulosis dan malaria yang dikategorikan sebagai penyakit yang endemik di sebahagian kawasan di dunia, namun terus mengakibatkan kematian berjuta-juta orang setiap tahun.

“Beliau menjangkakan situasi sama juga mungkin berlaku jika COVID-19 diisytiharkan sebagai penyakit yang endemik. Oleh itu, penyakit yang dilaporkan sebagai endemik masih memerlukan program kawalan mantap bagi mengurangkan jangkitan, penderitaan dan kematian,” katanya.

Menjelaskan lanjut, Dr Noor Hisham berkata, sekiranya pembawa virus COVID-19 tidak memakai pelitup muka, ia akan memberi risiko jangkitan yang tinggi kepada individu sihat serta tidak memakai pelitup muka.

“Risiko akan menjadi sederhana tinggi apabila pembawa COVID-19 tidak memakai pelitup muka walaupun individu sihat memakai pelitup muka. Risiko akan menjadi rendah sekiranya pembawa jangkitan berkenaan memakai pelitup muka apabila berjumpa individu sihat tanpa pelitup muka. Bagaimanapun yang terbaik ialah kedua-dua individu terbabit memakai pelitup muka dan risiko penularan menjadi sangat rendah.

“Ini berdasarkan kemungkinan terdapat individu yang tidak tahu dijangkiti COVID-19, berada di kawasan umum kerana tidak bergejala. Oleh itu, pakailah pelitup muka sebagai perisai bagi orang di sekeliling kita, terutama golongan berisiko tinggi,” katanya.

Dr Noor Hisham turut menyarankan orang ramai supaya memakai pelitup muka dengan betul, iaitu dengan menutup hidung serta mulut sepenuhnya dan bukan hanya sekadar meletak pelitup itu di bawah atau hujung hidung.

“Elakkan kebiasaan membiarkan dagu terdedah, menurunkan pelitup muka ke bahagian dagu, atau memakai pelitup muka yang longgar,” katanya.

Namun, beliau berkata, ada beberapa pengecualian untuk tidak memakai pelitup muka, iaitu ketika berada di kediaman sendiri, bilik hotel, bilik di tempat penginapan, tempat kemudahan awam yang tidak membabitkan interaksi dengan individu lain, dan ruang kerja bersendirian.

Selain itu, ketika melakukan aktiviti sukan, rekreasi dan riadah; berada dalam kenderaan persendirian tidak termasuk e-hailing; ketika makan dan minum; ketika aktiviti persembahan (menyanyi, menari, berlakon dan berceramah), serta anak-kanak berusia lima tahun dan ke bawah.

Turut diberikan pengecualian sama ialah individu berkeperluan khas (orang kurang upaya tertentu seperti Cerebral Palsy atau Autisme); dan individu mempunyai masalah pernafasan (dengan syarat mengemukakan laporan perubatan yang disahkan pengamal perubatan berdaftar).

“Amalan saling menegur adalah tidak asing lagi bagi masyarakat di negara ini kerana ia merupakan amalan solidariti untuk kebaikan bersama.

“Sekiranya ada individu tidak memakai pelitup muka atau memakainya secara tidak betul, kita boleh saling menegur secara berhemah.

“Amalan ini perlu dibudayakan demi menjaga kesihatan sesama kita, selain terus mengamalkan penjarakan fizikal yang munasabah. Di samping itu, segera dapatkan dos penggalak bagi yang belum menerimanya,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Petanda Verstappen bersara?

London: Ayah Max Verstappen berkata, anaknya mungkin bersara daripada Formula Satu (F1) selepas dia berjaya ‘mencapai segalanya’ setakat ini. Pelumba Belanda itu mengharungi musim cemerlang

Read More »