fbpx

Macau Scam dikesan curi wang akaun Tabung Haji

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan sebanyak 65 kes kehilangan wang dalam akaun Tabung Haji membabitkan nilai RM3.59 juta berlaku dalam kalangan mangsa sindiket penipuan Macau Scam, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata kebiasaannya mangsa dihubungi melalui panggilan telefon oleh ahli sindiket Macau Scam yang menyamar.

“Mereka menakutkan mangsa dengan mendakwa terbabit dalam kegiatan jenayah, mempunyai tunggakan kad kredit dan sebagainya sebelum meminta mangsa mendedahkan maklumat perbankan mereka.

“Terbaharu, sindiket Macau Scam ini dikesan berjaya membuat pengeluaran wang dari akaun Tabung Haji yang dipautkan dengan akaun bank komersial milik mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Jelas beliau, kemudahan fasiliti perbankan internet oleh Tabung Haji dan bank konvesional lain membolehkan perkara itu berlaku.

“Akibatnya, bukan sahaja wang di dalam bank komersial mereka hilang, malah wang dalam akaun Tabung Haji yang dipautkan bersama akaun bank itu turut hilang.

“Setakat ini, 65 kes sebegini dikesan membabitkan kerugian RM3.59 juta,” katanya.

Katanya, walaupun orang ramai sudah terlalu kerap diingatkan agar jangan sesekali memberikan maklumat perbankan kepada individu tidak dikenali, masih ramai yang menjadi mangsa penipuan .

“Justeru, pesanan sedemikian akan terus disampaikan dalam usaha mengelakkan orang ramai terus menjadi mangsa penipuan sindiket Macau Scam.

“Untuk mendapatkan sebarang nasihat atau maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi CCID Scam Response Center di talian 03-26101559 atau 03-26101599,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews