fbpx

MyCC lakukan serbuan, giat siasat isu kartel industri ayam dan telur

Peniaga di semua peringkat rantaian diharap mengekalkan etika yang tinggi dalam menjalankan perniagaan dan membantu kerajaan agar harga ayam kekal stabil. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) giat meneruskan siasatan terhadap dakwaan wujud kartel dalam industri ayam serta telur, termasuk melakukan serbuan dan mengambil keterangan daripada perusahaan berkaitan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MyCC, Iskandar Ismail, berkata malah ada pihak tertentu sudah tampil serta menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan suruhanjaya itu dalam siasatan terbabit.

Beliau berkata, MyCC memandang serius isu berkenaan yang dilaporkan media, baru-baru ini, dan siasatan kini berjalan lancar.

Katanya, MyCC menubuhkan pasukan khas bagi melaksanakan siasatan menyeluruh berhubung isu persaingan dalam industri berkenaan, susulan arahan Majlis Tindakan Kebangsaan Mengenai Kos Sara Hidup (NACCOL).

Susulan itu, beliau berkata, MyCC menggunakan kuasa diperuntukkan bawah Akta Persaingan 2010 bagi tujuan penyiasatan lanjut.

“Ada pihak tertentu sudah tampil dan menyatakan kesediaan mereka untuk bekerjasama dengan MyCC dalam siasatan melalui permohonan untuk kelonggaran bawah Seksyen 41 Akta Persaingan 2010.

“Rejim kelonggaran ini membolehkan mana-mana pihak yang terbabit kartel, bekerjasama dengan MyCC dalam penyiasatan untuk tujuan mendapatkan kelonggaran dalam keputusan MyCC,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Iskandar menjelaskan, industri ayam merupakan antara segmen terbesar dalam sektor pertanian di Malaysia.

Beliau berkata, ia membabitkan rantaian bekalan yang luas dan pelbagai subsektor seperti pembuatan makanan ayam, pembekalan anak ayam, penternakan serta pengedaran ayam hidup.

“Proses siasatan terhadap industri ini kompleks dan akan mengambil masa, di mana bukti serta dokumen yang diperoleh MyCC melalui penyiasatan memerlukan penilaian teliti.

“Justeru, MyCC mengalu-alukan kerjasama dan sokongan pihak berkepentingan yang relevan serta orang awam dalam menangani isu berkenaan,” katanya.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews