fbpx

Subsidi diteruskan biarpun kos haji meningkat

Putrajaya: Kerajaan memberi jaminan pemberian subsidi kepada jemaah akan diteruskan biarpun kos menunaikan haji tahun ini dijangka meningkat hingga RM25,000.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad berkata, perbincangan lanjut akan dilakukan bersama Lembaga Tabung Haji (TH) sebelum kos bayaran yang akan ditanggung jemaah ditentukan.

“Nanti kita akan umumkan (kos), malah (kuota haji) semua negara belum diumumkan lagi, sepatutnya (Arab Saudi) maklumkan sebelum Ramadan, tapi mungkin ada perkara yang perlu diselesaikan dahulu, kita tunggu.

“Subsidi akan tetap kita bagi, namun tidak boleh umum lagi, kita akan bincang dengan TH dalam masa terdekat, nanti akan diputuskan Kabinet dan diumum kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyampaian Sumbangan Tabung Kebajikan Hospital Wilayah Persekutuan 2022 di Hospital Putrajaya di sini, hari ini.

Semalam TH menjangkakan kos menunaikan haji bagi seorang jemaah muassasah pada tahun ini meningkat kepada lebih RM25,000 susulan kenaikan berkaitan cukai dan caj perkhidmatan baharu dikenakan kerajaan Arab Saudi.

TH dalam kenyataan memaklumkan kos berkenaan adalah peningkatan 12 peratus berbanding RM22,900 bagi seorang jemaah haji muassasah pada 2019.

Sementara itu Idris berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) sehingga Februari lalu sudah mengagihkan bantuan perubatan kepada 1,736 penerima dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM4,396,959.

Katanya, bantuan di bawah Skim Bantuan Perubatan itu adalah satu daripada 30 skim bantuan yang ditawarkan MAIWP.

“Melalui skim ini, pelbagai bentuk bantuan disalurkan kepada mereka yang berkelayakan. Antara bantuan yang disalurkan di bawah skim ini adalah bantuan heamodialisis, peralatan kesihatan, perubatan am dan kanak-kanak khas orang kurang upaya (OKU),” katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata, setiap tahun MAIWP akan menyampaikan bantuan kepada tabung kebajikan hospital.

“Tahun ini sumbangan diteruskan kepada 12 hospital yang akan menerima sumbangan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.03 juta.

“Sumbangan ini diharapkan dapat dimanfaatkan oleh hospital dan institusi kesihatan untuk membantu pesakit yang kurang berkemampuan yang memerlukan peralatan perubatan, pembelian ubatan khas dan bantuan am seperti pembedahan atau rawatan susulan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews