fbpx

Jual tanah lapangan terbang: Siasatan SPRM mula minggu ini

Seri Iskandar: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memanggil dan merakam percakapan beberapa individu untuk membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah untuk pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar bermula minggu ini.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Mohd Fauzi Mohamad berkata, individu berkenaan turut membabitkan beberapa ahli lembaga mesyuarat beberapa jabatan berkaitan.

Mohd Fauzi berkata, pihaknya juga sudah mendapatkan beberapa dokumen berkaitan isu berkenaan.

“SPRM akan mula memanggil dan merakam percakapan saksi terbabit khususnya membabitkan ahli lembaga mesyuarat jabatan berkaitan yang sudah bersidang.

“Ia berdasarkan minit mesyuarat berkenaan bagi mendapatkan penjelasan masing-masing berhubung isu tanah yang dipertikaikan,” katanya ringkas ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Fauzi bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah individu dan jabatan yang akan dipanggil.

Sebelum ini media melaporkan, empat bekas EXCO kerajaan Perak sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) tampil meminta SPRM membuat siasatan berhubung isu penjualan tanah untuk tapak cadangan pembinaan lapangan terbang antarabangsa di Seri Iskandar.

Isu penjualan tanah lapangan terbang berkenaan timbul selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Aulong, Nga Kor Ming pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak mendakwa tanah itu sudah dijual tanpa kebenaran kerajaan negeri.

Bagaimanapun Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memaklumkan penjualan tanah itu dilakukan ketika di bawah pentadbiran PH kepada syarikat swasta untuk pembangunan bercampur di kawasan itu.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews