fbpx

Kerajaan bentang RUU pinda Perkara 10 Perlembagaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan hari ini membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 bagi menambah fasal 3A dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

RUU itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebaik sesi Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bermula jam 10 pagi tadi.

“RUU yang akan saya bentangkan bertujuan meminda Perkara 10 dengan makdus memasukkan fasal 3A selepas fasal 3 bagi sekatan ke atas hak untuk membentuk persatuan yang diberikan oleh perenggan c fasal 1 yang berhubung dengan keahlian dalam parti politik Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri boleh juga dikenakan oleh undang-undang persekutuan.

“Pindaan ini turut memberi punca kuasa bagi membolehkan satu akta khsusunya berhubung larangan ahli dewan bertukar parti digubal dan diluluskan di Parlimen,” katanya ketika membentangkan RUU berkenaan hari ini.

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.. — Gambar BERNAMA

Wan Junaidi berkata, Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan harus dipinda bagi membolehkan akta baru berkaitan larangan ahli Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) digubal, dirujuk di Parlimen.

“RUU pindaan ini akan menjadi langkah pemula kepada penggubalan RUU bagi mencegah tindakan keluar parti bagi melindung hak rakyat yang sudah memberi undi serta kepercayaan tinggi kepada ahli politik ketika proses pilihan raya.

“Selain itu, RUU ini mampu menghentikan tindakan mana-mana pihak yang dipilih dan dilantik menerusi proses pilihan raya sah daripada bertukar parti tanpa sebab kukuh atas alasan munasabah sekali gus memastikan kestabilan politik negara untuk jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata, jawatankuasa khas membabitkan wakil semua pihak termasuk pembangkang dan ahli akademik diwujudkan bagi memperincikan, menggubal dan meneliti pindaan RUU Anti Lompat Parti itu sebelum ia diperinci kerajaan, kemudian dibentangkan ke Parlimen.

“RUU dijangka dibentang pada Julai ini sudah dipersetujui akan dilaksana selepas hari raya nanti pada satu tarikh yang bakal ditetapkan Perdana Menteri dibawah peraturan 11(3),” katanya.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mempengerusikan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat hari ini memaklumkan seramai 65 Ahli Parlimen mewakili kerajaan dan pembangkang akan membahaskan usul RUU pindaan perlembagaan ini.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews