fbpx

Sedar ditipu Macau Scam selepas sejam pindah duit

Kota Bharu: Pengurus lombong bijih berputih mata apabila kerugian RM40,000 akibat diperdaya Macau Scam, Sabtu lalu.

Mangsa berusia 36 tahun menyedari ditipu, sejam selepas memindahkan wang daripada akaun Tabung Haji ke akaun Bank Islam, selain mengisi maklumat bank menerusi pautan yang diberi suspek.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, modus operasi yang dialami mangsa adalah sama sebagaimana mangsa lain.

Katanya, ia bermula dengan mangsa mendapat panggilan yang mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) ketika berada di pejabatnya di Gua Musang pada 5.20 petang, Sabtu lalu.

“Mangsa dikatakan mempunyai cukai tertunggak sebanyak RM98,000 dan talian disambungkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sebelum dimaklumkan mangsa juga terbabit dengan dadah dan penggubahan wang haram.

“Mangsa kemudiannya diminta membuka satu akaun bank yang baru kononnya untuk menjalankan siasatan terhadap kesemua wang milikan mangsa.

“Disebabkan takut, mangsa membuka akaun Bank Islam dan memindahkan wang miliknya daripada akaun Tabung Haji ke akaun itu sebanyak RM40,000,” katanya ketika dihubungi.

Pada masa sama katanya, mangsa turut mengisi maklumat bank dalam pautan aplikasi yang diberikan suspek.

“Mangsa diberitahu siasatan akan dijalankan selama tiga hari sebelum boleh mengambil semula wang terbabit.

“Bagaimanapun, sejam kemudian, pengadu mula curiga dan segera menghubungi pusat khidmat pelanggan Bank Islam, serta dimaklumkan baki akaunnya hanya tinggal RM100 sahaja.

“Susulan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Gua Musang dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Empat hari api tak padam

Kota Kinabalu: Sudah empat hari terbakar namun api di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Telipok, di sini, masih gagal dipadamkan sepenuhnya. Terbaru, pasukan bomba dan

Read More »
Kwiknews