fbpx

Tindak balas ubat pelali

Kuala Lumpur: Duka pemergian insan tersayang belum hilang di kalangan waris dan lebih parah, mereka terkilan dengan penyebaran berita palsu mengenai punca kematian ahli keluarga yang dieksploitasi untuk mengelirukan orang ramai daripada mengambil vaksinasi Covid-19.

Walaupun laporan perubatan jelas membuktikan punca kematian namun waris terus dikecam termasuk dituduh menerima bayaran semata-mata menyembunyikan perkara sebenar.

Bagi Mohammad Faeez Harith Khairil Anuar, dia terkilan dan kecewa apabila kematian ibunya, Baizura Othman pada Februari lalu dijadikan bahan dakyah palsu pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, punca kematian ibunya itu ialah kesan daripada tindak balas ubat pelali atau anaesthesia yang diberikan sebelum prosedur intubasi dan tiada kaitan langsung dengan pengambilan vaksin Covid-19.

“Rasa marah berganti sedih kerana sejauh ini pemikiran mereka semata-mata hendak membuktikan sesuatu yang tidak benar sampai mereka membuat tuduhan lain tanpa sedikit pun rasa takut menerima akibat sama ada perundangan di dunia atau terima balasan di akhirat.

“Jadi, perkara itu menyedihkan saya,” katanya.

Menurutnya, dia berharap pihak berwajib memberikan penjelasan menyeluruh apabila timbul sesuatu isu bagi mengelak pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

“Tidak dinafikan ada yang menerima kesan sampingan, tetapi apabila kes mereka tidak dilayan begitu baik dan tidak mendapat penjelasan sewajarnya dan seolah-olah didiamkan, itulah yang membuka ruang orang lain mengambil kesempatan menghasut,” katanya.

Keperitan sama turut dirasai anak kepada bekas pemain bola sepak kebangsaan, mendiang Serbegeth Singh atau Shebby yang meninggal dunia pad a Januari lalu akibat serangan jantung. Anaknya, Sonuljit Singh terpaksa tampil ke media bagi menafikan spekulasi yang mendakwa kematian bapanya itu mempunyai kaitan dengan pengambilan dos penggalak Covid-19 walaupun laporan bedah siasat menunjukkan tiga saluran arteri koronari Shebby tersumbat 90 hingga 100 peratus dan organ penting berfungsi baik dan tidak menunjukkan sebarang reaksi alahan.

Mengulas perkara itu, Pakar Perunding Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, Dr Mohd Suhani Mohd Noor berkata, peranan pemeriksaan bedah siasat penting dan masyarakat perlu bersikap terbuka menerima keputusan pakar berikutan mereka menjalankan tugas mengikut prosedur secara profesional berdasarkan kajian teliti dan menyeluruh.

“Perlu diingat mana-mana penerima vaksin semua sama dalam populasi umum di mana ada penyakit diketahui dan tidak diketahui.

“Macam warga emas, ada penyakit darah tinggi, kencing manis atau mungkin juga sakit jantung.

“Jadi katakan dia meninggal dunia tidak lama dari tempoh menerima vaksin, kita tidak boleh kaitkan terus kematiannya dengan vaksin kerana sudah jelas dia ada penyakit yang berpotensi untuk kematian mengejut pada bila-bila masa.

“Jadi mungkin kematian itu kebetulan, tetapi kalau dilihat dari pandangan orang awam atau kita pun akan anggap ini mesti berpunca daripada vaksin.

“Itu perkara biasa, sebab itu kes macam ini kita perlu buat pemeriksaan bedah siasat supaya dapat kepastian,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews