fbpx

Lebih 50 peratus kes baharu COVID-19 tidak bergejala

A patient is treated for Covid-19 in ICU (file picture). (Source: istock.com)

PUTRAJAYA: Lebih 50 peratus kes baharu COVID-19 yang dilaporkan semalam membabitkan kategori satu atau individu tidak bergejala.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, selepas 56.26 peratus daripada keseluruhan kes direkodkan semalam atau 4,354 kes membabitkan kategori berkenaan.

“Ia diikuti kategori dua dengan 3,318 kes atau 42.87 peratus, kategori tiga (34 peratus), kategori lima (19 peratus) dan kategori empat (14 peratus).

“Secara keseluruhannya daripada 67 kes bagi kategori tiga hingga lima itu, sebanyak 42 kes membabitkan individu yang mempunyai komorbid.

“Selain itu, sejumlah 36 kes membabitkan lingkungan umur 60 tahun ke atas, sudah menerima dos penggalak (27 kes), tidak divaksinasi atau belum lengkap vaksin (24 kes), sudah menerima dua dos vaksin namun tiada dos penggalak (16 kes) dan ibu mengandung (satu kes),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut memaklumkan setakat semalam, sebanyak 427 kes COVID-19 dimasukkan ke hospital yang membabitkan 56.2 peratus atau 240 kes dalam kalangan pesakit kategori satu dan dua, serta 187 kes lagi bersamaan 43.8 peratus adalah kategori tiga hingga lima.

Mengulas penularan kluster COVID-19 di negara ini, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya berjaya mengesan dua lagi kluster baharu sekali gus menjadikan kini terdapat 126 kluster masih aktif di negara ini.

Mengenai situasi katil di Unit Rawatan Rapi (ICU), Dr Noor Hisham berkata dua negeri mencatatkan penggunaan katil melebihi 50 peratus iaitu di Putrajaya kini pada paras 100 peratus serta Selangor (52 peratus).

“Bagi katil bukan ICU, Putrajaya mencatatkan penggunaan melebihi 50 peratus iaitu kini sebanyak 64 peratus katilnya sudah digunakan, manakala tiada negeri mencatatkan penggunaan katil melebihi 50 peratus di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC),” katanya.

Tambah Dr Noor Hisham lagi, untuk penggunaan alat bantuan pernafasan di fasiliti kesihatan, peratusannya kini menunjukkan sedikit penurunan iaitu sebanyak 12 peratus atau 102 pesakit.

Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews