fbpx

Penceramah bebas diserah kepada polis KL

SHAH ALAM: Penceramah bebas bergelar ustaz yang disyaki merogol remaja perempuan berusia 14 tahun akan diserah kepada polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Sabtu untuk tindakan lanjut.

Ia susulan tempoh reman selama lima hari terhadap suspek berusia lingkungan 30-an itu tamat pada Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, reman terhadap lelaki itu akan tamat pada Sabtu (esok) dan akan diserahkan ke pihak polis Kuala Lumpur.

“Setakat ini laporan polis yang diterima babit kes itu masih kekal empat dengan masing-masing dua di Selangor, satu di Kuala Lumpur dan satu lagi di Perak.

“Kita menggesa sekiranya ada individu lain yang mendakwa menjadi mangsa untuk tampil bagi membantu siasatan pihak polis,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Sasikala berkata, berdasarkan siasatan awal, perkenalan antara suspek dan remaja perempuan itu dipercayai bermula apabila mangsa menghubungi lelaki terbabit di media sosial bagi bertanyakan masalah agama sebelum perkenalan terjalin sejak Mei tahun lalu.

Beliau berkata, polis turut menjalankan siasatan bagi melihat sama ada wujud unsur ugutan dilakukan suspek terhadap mangsa susulan berlaku beberapa hubungan intim sebelum ini.

“Siasatan juga masih dijalankan sama ada disebabkan perwatakan baik yang membuatkan mangsa percaya kepada suspek sehingga disyaki berlakunya kejadian berkenaan (rogol),” ujarnya.

Pada 16 Julai lalu, polis menerima satu laporan daripada mangsa yang mendakwa dirogol suspek.

Susulan itu, pada 18 Julai kira-kira jam 4.50 petang, suspek telah ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk siasatan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.





Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews