fbpx

118 majikan ingkari perintah gaji minimum

Menteri Sumber Manusia, Seri M Saravanan, menjawab soalan di Dewan Rakyat, 21 July 2022. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Seramai 118 majikan didapati tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 sehingga 30 Jun lalu, susulan aduan yang diterima Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata sebanyak 157 aduan diterima JTKSM pada Jun dan majikan diberikan nasihat untuk mematuhinya.

“Sekiranya gagal, tindakan perundangan akan diambil ke atas mereka,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) mengenai statistik majikan yang melaksanakan dan ingkar serta permohonan penangguhan pelaksanaan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan yang dikuatkuasakan mulai 1 Mei lalu.

Menjawab soalan Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa (PH-Parit Buntar) mengenai bilangan majikan didakwa kerana tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 yang berkuat kuasa mulai 1 Mei lalu, beliau berkata, belum ada majikan dikenakan tindakan undang-undang.

Katanya, ia berikutan gaji Mei hanya mula diterima oleh pekerja pada awal Jun lalu.

“Statistik majikan yang mematuhi dan tidak mematuhi Perintah Gaji Minimum 2022 masih tidak dapat disediakan berikutan kuat kuasanya perintah itu pada 1 Mei 2022 dan pematuhan hanya dapat dikenal pasti melalui pemeriksaan berkanun,” katanya.

Beliau menjelaskan, penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,500 sebulan hanya terpakai kepada majikan yang menggajikan kurang daripada lima pekerja.

Saravanan berkata, ia bagi memberi peluang kepada majikan kategori itu membuat persediaan sewajarnya.

“Kerajaan memutuskan tiada penundaan diberi kepada mana-mana sektor ekonomi atau jenis pekerjaan kerana bantuan kepada majikan melalui pakej bantuan COVID-19 seperti Program Subsidi Upah berupaya mengekalkan perniagaan dan pekerjaan.

“Bagi memastikan semua pekerja di Malaysia mendapat manfaat Perintah Gaji Minimum 2022, JTKSM sentiasa menjalankan pemeriksaan berkanun atau pemeriksaan mengejut ke atas majikan,” katanya.

Sehingga 30 Jun lalu, katanya, sebanyak 20,452 majikan diperiksa.






Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Polis buru suspek pecah rumah

Tanah Merah: Polis memburu seorang suspek disyaki memecah masuk rumah di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau dan melarikan wang tunai serta barang berharga dianggarkan bernilai

Read More »
Kwiknews