fbpx

Dewan Rakyat putuskan kenyataan ‘lucah’ Tajuddin esok

Tajuddin Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Drama kekecohan Ahli-ahli parlimen pembangkang mengenai dakwaan kenyataan ‘lucah’ daripada Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (BN- Pasir Salak) tercetus selepas selesai sesi soalan lisan di Dewan Rakyat.

Bingkas bangun Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) mempertikaikan tindakan Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon yang dilihat tidak serius mengambil tahu mengenai dakwaan mereka.

“Saya menghantar surat memohon Speaker memanggil Ahli Parlimen Pasir Salak agar memohon maaf dan menarik balik penggunaan kata-kata lucah dalam Dewan Rakyat.

“Kita terperanjat dengan kelakuan yang amat tidak senonoh dan tidak boleh diterima oleh mana-mana Ahli Parlimen.

“Speaker hanya melepaskan Pasir Salak dengan begitu sahaja sekadar dengan amaran sahaja, saya rasa kecewa dengan keputusan yang telah dibuat dan dengan sembilan Ahli Parlimen yang telah jadi saksi apabila Pasir Salak mengeluarkan kata-kata lucah semasa mikrofon dia ditutup jadi bukti samada dengan mikrofon itu buka atau tidak maka ia telah berlaku,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Kasthuriraani, sekiranya perkara itu tidak diambil berat, ia akan mencerminkan Dewan Rakyat mengabaikan apa yang dibawa oleh pembangkang.

“Perkara ini bukan sekali sahaja berlaku tapi berulang, sekiranya Speaker tidak menggunakan jawatan tersebut untuk mengambil tindakan tegas terhadap Pasir Salak, maka ia akan menjadi teladan yang amat buruk dalam sejarah,” katanya.

Dalam pada itu, pembangkang mendesak agar Dewan Rakyat memanggil Tajuddin bagi memberikan penjelasan berhubung kenyataan lucah yang dikeluarkan pada sidang Dewan Rakyat, Rabu lalu.

Rashid kemudian memberi penjelasan bahawa surat yang dikemukakan Kasthuriraani itu sudah diterima Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

“Surat itu sudah dihantar dan saya pun menerima surat itu dan Speaker meminta untuk saya mengendalikan, jadi saya baru terima surat tersebut dan sedang dalam proses.

“Sebahagian daripada saksi pun telah saya panggil dan saya akan buat rumusan dan berikan jawapan dalam minggu ini atau selewatnya esok,” katanya memberikan penjelasan.

Khamis lalu, Azhar Azizan berkata, Dewan Rakyat akan meneliti lebih lanjut sebelum membuat sebarang ketetapan terhadap Tajuddin yang dikatakan mengeluarkan kata kesat dan lucah dalam sidang Dewan Rakyat, Rabu lalu.

Ketika perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antigangguan Seksual, Tajuddin menggelar beberapa Ahli Parlimen wanita DAP mempunyai perangai tidak senonoh sebelum Dewan Rakyat kecoh seketika.

Tindakan Tajuddin itu dibuat ketika beliau cuba membidas dakwaan daripada Teo Nie Ching (PH-Kulai) bahawa beliau sering membuat kenyataan berbaur seksi kepada Ahli Parlimen wanita.







Sumber: MalaysiaGazette

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews