fbpx

Kabinet setuju dedahkan laporan audit, forensik kes LCS

Kapal LCS yang masih di dalam pembinaan di tapak pembinaan kapal Littoral Combat Ship (LCS) di Boustead Naval Shipyard (BNS) Lumut, Perak. - Foto fail NSTP

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini secara prinsip bersetuju supaya dibuat pendedahan laporan audit dan laporan forensik berkaitan kes perolehan Kapal Tempur Pesisir (LCS) yang sepatutnya dimiliki Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata ia akan dibuat selepas perbincangan antara Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dengan pihak berkaitan membabitkan mekanisme pendedahan berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, ada beberapa perkara sensitif membabitkan keselamatan tidak seharusnya didedahkan kepada umum.

“Secara prinsip Jemaah Menteri masih menekankan bahawa pendedahan itu bakal dibuat.

“Saya berpendirian, perkara sensitif soal keselamatan patutnya memang tidak boleh didedahkan. Di mana-mana demokrasi pun, sama ada di Amerika Syarikat (AS), di England, bahkan di Perancis, mereka tidak akan dedahkan benda yang sangat sensitif,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Bulan Kemerdekaan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU) di pejabatnya, hari ini.

Wan Junaidi berkata, ia seperti amalan di England, apabila sesuatu dokumen mahu dinyahklasifikasi, pihak terbabit akan membincangkan perkara sensitif berkaitan keselamatan mungkin diasingkan, manakala perkara lain akan didedahkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Pada masa sama, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, juga sudah menyatakan kerajaan tidak menolak untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat skandal LCS.

Katanya, biarpun kerajaan beranggapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah membuat yang terbaik, cadangan untuk mengadakan RCI tidak ditolak.

Berhubung siasatan dijalankan SPRM, Wan Junaidi berkata, kertas siasatan lain membabitkan kes LCS masih perlu dikemaskini oleh penyiasat sebelum ia dikembalikan semula kepada Pejabat Peguam Negara untuk membolehkan individu lain pula mungkin didakwa.

Katanya, ia berikutan beberapa persoalan yang perlu dijawab membabitkan kertas siasatan berkenaan.

“Bagaimanapun, tadi ada dibincangkan pada mesyuarat Kabinet. Keputusan Kabinet (berhubung siasatan berkenaan) adalah terbuka (open ended) dan Kabinet menegaskan sekali lagi bahawa kita tidak akan melindungi sesiapa pun,” katanya.

Minggu lalu media melaporkan, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengingatkan kerajaan untuk menyahklasifikasikan dua laporan berkaitan isu LCS secara menyeluruh.

Pengerusinya, Wong Kah Woh, dilaporkan berkata, jawatankuasa itu tetap menyambut baik keputusan Kabinet pada 10 Ogos lalu, yang menerima pakai dua syor PAC yang paling penting dalam laporan perolehan kapal LCS.

Semalam BH melaporkan, Hishammuddin memberi komitmen bahawa beliau akan membawa cadangan penubuhan RCI untuk menyiasat skandal pembelian enam LCS milik TLDM ke Kabinet hari ini.

Hishammuddin berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul berkaitan projek LCS, di Dewan Negara, semalam.

Hishammuddin turut menjelaskan status menyahklasifikasikan Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) sudah dimulakan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan dijangka selesai dalam masa terdekat.

Katanya, Pengauditan Forensik Projek LCS pula akan mengambil masa sementara menunggu kelulusan Peguam Negara kerana dokumen itu bukan milik kerajaan, sebaliknya dimiliki Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).





Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews