fbpx

Lima lelaki serang pusat tahfiz dijatuhkan hukuman penjara

TERTUDUH didakwa di Mahkamah Majistret Raub atas tuduhan menceroboh pusat tahfiz dan menyebabkan kecederaan pada 11 Ogos lalu.

LIPIS – Tiga lelaki dijatuhkan hukuman penjara selama 18 bulan manakala dua lagi dijatuhkan hukuman 10 bulan dan denda oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah menceroboh pusat tahfiz dan menyebabkan kecederaan ke atas seorang guru pada 11 Ogos lalu.

Majistret Siti Aisyah Ismail menjatuhkan hukuman terhadap Wan Haris Wan Ismail,38, Zulkifli Mohd Nasir, 27, Azraen Che Mat Noor, 43,  Mohd Amirul Afif Che Mat Noor, 29 dan Rizuwan Hazmi, 47, selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa.

Mengikut kertas pertuduhan kelima-lima tertuduh didapati bersalah dengan niat melakukan pencerobohan di kawasan Pusat Tahfiz Darul Fikri Al Mahmudiah, Jalan Cheneras di sini pada pukul 5.10 petang, 11 Ogos lalu.

Kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Siti Aisyah kemudiannya menjatuhkan hukuman 10 bulan penjara dan denda RM2,000 serta tambahan enam bulan penjara jika gagal menjelaskan denda kepada kelima-lima tertuduh.

Sementara itu pada prosiding yang sama, tiga tertuduh iaitu Wan Haris, Zulkifli dan Azraen didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Zulhafiz Mohd Rasid, 26, yang merupakan seorang guru.

Ketiga-tiga mereka dituduh di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya.

Siti Aisyah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM1,000 kepada Wan Haris, Zulkifli dan Azraen atau tambahan enam bulan penjara jika  gagal menjelaskan denda.

Dalam penghakimannya Siti Aisyah turut memerintahkan kesemua tertuduh menjalani hukuman penjara bermula daripada tarikh mereka ditangkap.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala tertuduh diwakili peguam Fariha Nuzuruhan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK). – KOSMO! ONLINE




Sumber: Kosmo!

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews