fbpx

Projek MRT, LRT Ipoh baru rancang, bukan bina dalam masa terdekat

RUMAIZI Baharin berucap pada program Kibar Jalur Gemilang di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH: Pembinaan projek pengangkutan awam, Perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) di bandar raya ini baru pada peringkat perancangan, bukan untuk dilaksanakan dalam masa terdekat.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, memaklumkan projek dicadang menerusi Rancangan Tempatan Daerah dalam tempoh 25 tahun itu tidak semestinya muktamad dengan MRT dan LRT semata-mata.

“Saya ingat orang tak faham konsep (projek), ia dimasukkan dalam Rancangan Tempatan Daerah, bermakna kita dalam perancangan untuk mengadakan konsep perkhidmatan MRT dan LRT di bandar raya Ipoh ini.

“Apa yang kita buat itu adalah satu bentuk perancangan dan boleh berubah dalam tempoh sehingga 2035. Jadi, kos dan model pun kita tak tahu, mungkin boleh berubah kepada teknologi baharu ‘Autonomous Rail Rapid Transit’ (ART) atau ‘Bus Rapid Transit’ (BRT),” katanya.

Memberitahu demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Majlis Bandaraya Ipoh 2022 di sini, Rumaizi berkata, perancangan melalui Rancangan Tempatan Daerah itu dapat menjimatkan kos dan menentukan kawasan sasaran awal.

“Contohnya, kalau kita rancang bina lapangan terbang baharu, mesti rancang dalam satu dokumen. Dokumen dalam perundangan MBI adalah Rancangan Tempatan Daerah dan selepas perancangan itu, kita boleh memperuntukkan kawasan dan mungkin boleh kurangkan kos dalam beberapa aspek.

“Sekiranya tidak membuat perancangan awal dan tiba-tiba baru nak buat, itu akan ada kos pengambilan semula tanah,” katanya turut menafikan dakwaan kos bagi projek terbabit mencecah RM14.5 bilion dan menegaskan, segalanya masih di peringkat kajian.

“Itu hanya tanggapan semata-mata, kajian kos pun sedang dibuat. Buat masa ini ada satu syarikat yang buat kajian, tetapi dalam bentuk tram ART, kita minta kajian dibuat sehingga Januari tahun depan dan selepas itu kita akan lihat bagaimana,” katanya.

Beliau berkata, perancangan itu selari dengan hasrat MBI untuk menjadi bandar raya rendah karbon menjelang 2030 melalui pengubahan daripada penggunaan jalan darat kepada landasan yang akan mengurangkan pelepasan karbon.

“Dari sudut populasi tiada masalah, contohnya Sarajevo di Bosnia yang guna tram, penduduknya hanya sekitar 450,000 dan Ipoh lebih ramai dengan 720,000 orang. Kalau Sarajevo boleh hidup dengan tram kenapa kita tidak boleh?

“Malah Sarajevo juga sebuah bandar pelancongan. Jadi, jika kita dapat siap dengan strategi, pelancong yang datang bukan sahaja domestik, tetapi luar negara terutama dari Asia Timur dan mungkin Asia Tenggara,” katanya.

Semalam, media melaporkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata projek pembangunan LRT dicadangkan di bandar raya ini akan membabitkan inisiatif pembiyaan swasta (PFI) berikutan kerajaan negeri dan MBI tiada kemampuan terutama dari segi kewangan.

Terdahulu, dilaporkan cadangan projek berkenaan mendapat bantahan penduduk yang mempersoalkan kos pembinaannya yang mungkin mencapai RM14.5 bilion dan dibimbangi memberi beban hutang sangat besar kepada MBI.





Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Petanda Verstappen bersara?

London: Ayah Max Verstappen berkata, anaknya mungkin bersara daripada Formula Satu (F1) selepas dia berjaya ‘mencapai segalanya’ setakat ini. Pelumba Belanda itu mengharungi musim cemerlang

Read More »