fbpx

Ronaldo tiada masa untuk jadi sebahagian perancangan Manchester United, kata Nani

CRISTIANO Ronaldo tidak mempunyai masa untuk kekal semusim lagi bersama Manchester United, kata bekas rakan sepasukannya, Nani.

Bintang Portugal itu dilaporkan sedang berusaha untuk meninggalkan United selepas hanya setahun kembali ke pasukan itu daripada Juventus.

Bagaimanapun, kekurangan pilihan pasukan yang boleh disertainya — dengan Chelsea dan Bayern Munich berkata mereka terpaksa menolak peluang untuk menandatanganinya — telah meletakkan pemain berusia 37 tahun itu dalam situasi yang sukar.

Situasi rumit Ronaldo itu diburukkan lagi dengan kekalahan United kepada Brighton and Hove Albion dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum dibelasah 0-4 oleh Brentford dalam perlawanan kedua.

Dengan United sedang menjalani satu lagi pembinaan semula di bawah pengurus baru, Eric ten Hag, bekas pemain sayap mereka, Nani, memahami apa yang menyebabkan rakan senegaranya itu mahu meninggalkan kelab berkenaan.

“Masa berubah dan reaksi dan perangainya boleh berubah juga,” kata Nani dalam rancangan Rio Ferdinand’s Vibe bersama Five podcast.

“Tetapi jika kita lihat, dia masih melakukan perkara sama seperti kebiasaannya. Dia tidak suka kekalahan dan memberikan reaksi apabila rakan sepasukannya tidak beraksi baik. Apa yang membezakannya hanyalah masa.

“Dia kembali beraksi untuk Man United tetapi dia telah beraksi di serata dunia dengan pasukan dan pemain berbeza.

“Dia berada dalam pasukan di mana pengurus mereka sedang mencuba untuk membina semula pasukan itu dan ia bukan sesuatu yang mudah, ia memerlukan masa. Cristiano Ronaldo tidak mempunyai masa untuk dibazirkan bagi pembinaan pasukan atau menunggu musim depan.

“Dia mahu kekal berada di atas, menjaringkan gol, menjadi pemain seperti itu.

“Kerana itulah reaksinya sesuatu yang normal. Adakala kita semua memberikan reaksi yang tidak sepatutnya,” katanya.





Sumber: Astro AWANI

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews