fbpx

Bicara tangguh, Syed Saddiq dapatkan dokumen keterangan saksi daripada SPRM

(Foto oleh Zahid Izzani Mohd Said/The Edge)

KUALA LUMPUR: Prosiding perbicaraan kes pecah amanah yang dihadapi Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Mahkamah Tinggi di sini, yang dijadual berlangsung pagi tadi, ditangguhkan sehingga petang ini.

Ia bagi memberi masa kepada pasukan pembelaan Ahli Parlimen Muar itu untuk membuat persediaan hujahan.

Penangguhan juga dibuat bertujuan untuk mendapatkan dokumen keterangan saksi utama, Rafiq Hakim Razali, 32, yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selepas didakwa bercanggah denganok kenyataan diberikan dalam mahkamah.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid, berkata hujahan bagi mendapatkan keterangan berkenaan yang dibuat mengikut Seksyen 51 Kanun Prosedur Jenayah akan didengar pada jam 2.15 petang ini.

Terdahulu, peguam bela Syed Saddiq, Gobind Singh Deo, mempersoalkan haknya untuk melihat keseluruhan dokumen kenyataan itu.

“Pihak pendakwaan diberikan keseluruhan dokumen itu dan merujuk bahagian yang ada percanggahan. Mereka ada hak, kita tiada hak itu?

“Mereka sediakan bahagian percanggahan itu kepada mahkamah, kami mempunyai hak untuk lihat dokumen berkenaan. Apa saksi itu cakap? Apa yang berlaku?” katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata pihaknya memberi keseluruhan dokumen itu kepada hakim, namun mahkamah mengatakan akan melihat bahagian percanggahan sahaja.

“Kami memberi penjelasan dan mewarnakan bahagian percanggahan itu. Kami tidak mahu membuang masa dan mohon hujahan pihak pembelaan dibuat sekarang (pagi tadi), katanya.

Pada 25 Julai lalu, pihak pendakwaan diarah menyerahkan salinan percakapan Rafiq Hakim yang juga bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, kepada mahkamah.

Azhar membuat keputusan itu selepas bersetuju pihak pembelaan berjaya membuktikan terdapat perbezaan dalam keterangan lisan yang turut diakui oleh pendakwaan, berbanding dengan percakapan yang diberikan di bawah Akta 30 SPRM.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq yang juga bekas Ketua ARMADA BERSATU didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya, yang didakwa hasil aktiviti haram.




Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews