fbpx

Kalau kita selesaikan semuanya hari ini, tiada siapa yang akan berada di sini esok – Tengku Maimun

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat. Gambar kecil, Datuk Seri Najib Razak.

PUTRAJAYA: “Kalau kita selesaikan semuanya hari ini, tiada siapa yang akan berada di sini esok.”

Kenyataan itu dikeluarkan oleh Tun Tengku Maimun Tuan Mat selepas menolak permohonan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan pendengaran permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar Ketua Hakim Negara itu menarik diri.

Tidak sampai lima minit Muhammad Shafee membuat kemunculan di Mahkamah Persekutuan selepas ditamatkan perkhidmatan pada 25 Ogos lalu, beliau memohon agar beliau diberikan masa sehingga esok bagi untuk berhujah dalam permohonan itu.

Muhammad Shafee: Saya akan datang esok pagi untuk berhujah.
Tengku Maimun: Saya dah buat keputusan tiada penangguhan. Tuan Haji (Hisyam) sudah memulakan hujahan. Awak boleh sambung kemudian.

Muhammad Shafee: Saya cuma minta sehingga esok pagi. Tidak sampai 24 jam. Saya akan hadir esok pagi dan memulakan hujahan.
Tengku Maimun: Awak boleh datang esok atau bila-bila masa, tetapi kalau semuanya telah diselesaikan hari ini, tiada apa yang perlu dihujahkan.

Hisyam: Yang Amat Arif, saya akan meneruskan hujah saya hari ini tetapi hujahan tambahan oleh Tan Sri akan disambung esok pagi.
Muhammad Shafee: Penangguhan tidak sampai 24 jam, tidak sampai 12 jam. Saya akan hadir esok pagi. Saya perlu kembali ke Parlimen kerana terdapat simposium yang dipengerusikan oleh saya di sana pada pukul 2 petang ini. Saya akan datang esok.
Tengku Maimun: Jika semuanya telah diselesaikan hari ini, tiada siapa akan datang esok.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Kanan adhoc, Datuk V. Sithambaram membantah permohonan penangguhan tersebut atas alasan permohonan jelas dilakukan dengan niat jahat (mala fide) dan untuk menangguhkan kes itu.

“Kita telah berada di sini sejak minggu lepas, berhujah atas pelbagai permohon, untuk masukkan bukti baharu dan sebagainya. Di luar kebiasaan juga, pihak pendakwaan terpaksa berhujah terlebih dalam rayuan akhir.

“Daripada cara permohonan ini ditangguhkan, jelas ia dilakukan dengan mala fide (niat jahat) untuk menangguhkan kes ini,”ujar Sithambaram.

Selepas mahkamah menolak permohonan penangguhan itu dan mengarahkan Hisyam untuk meneruskan hujahannya, Muhammad Shafee dilihat mengumpulkan beberapa barangannya dan bangkit, berjalan menuju ke kandang tertuduh.

Peguam itu dilihat berbisik kepada Najib sebelum meninggalkan dewan mahkamah.







Sumber: UTUSAN

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews