fbpx

Remaja dipercayai mangsa bunuh, 3 suspek saling mengenali – Polis

Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

KUANTAN: Polis mengesahkan remaja perempuan yang ditemui mati dipercayai dibunuh berhampiran jalan masuk kawasan simpang perkuburan lama Bukit Ibam, Rompin, kelmarin, serta tiga suspek kes berkenaan saling mengenali.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, berkata ini kerana ketiga-tiga suspek lelaki berumur antara 22 hingga 38 tahun itu adalah dari kawasan penempatan sama dengan mangsa.

Beliau berkata, kesemua suspek terbabit kini direman selama tujuh hari hingga 29 Ogos ini, bagi membantu siasatan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang, terutama Rompin yang bertindak pantas menyelesaikan kes berkenaan. Tiga suspek lelaki berjaya ditahan dalam tempoh kurang 24 jam.

“Hasil siasatan awal mendapati mereka saling mengenali antara satu sama lain yang juga dari kawasan sama,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Jawatan Timbalan Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ramli menyaksikan serah terima tugas antara bekas Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri yang kini Ketua Polis Perak, dengan Timbalan Ketua Polis Pahang yang baharu, Datuk Abdul Razak Mohd Yusoff.

Terdahulu, media melaporkan Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan Mohd Azahari Mukhtar, berkata berdasarkan laporan diterima pada jam 2.45 petang kelmarin, seorang lelaki hadir ke Balai Polis Bukit Ibam untuk memaklumkan penemuan mayat di lokasi terbabit.

Hasil siasatan mendapati mangsa dipercayai remaja perempuan Orang Asli berumur 14 tahun dan tidak bersekolah.

Remaja itu ditemui dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala oleh sepupunya di kawasan lereng bukit yang bersemak, berdekatan laluan masuk rumah mangsa.





Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews