fbpx

RM16.9 juta tunggakan cukai tanah di Perlis lebih 10 tahun

Ismasuhaimi (tengah) bersama Penguatkuasa Jabatan Tanah dan Galian Negeri Perlis meletakkan notis sitaan pada dua bidang tanah yang didapati mempunyai tunggakan cukai tanah di Bukit Keteri, Chuping.- Foto NSTP/Ihsan JTG PERLIS

PADANG BESAR: Sebanyak RM16.9 juta tunggakan cukai tanah di Perlis dikesan oleh Jabatan Tanah dan Galian Negeri Perlis gagal dilunaskan oleh pemilik tanah sejak lebih 10 tahun lalu.

Pengarah Jabatan Tanah GalianNegeri Perlis, Ismasuhaimi Shariff, berkata pihaknya kini sudah mengenalpasti pemilik tanah di negeri itu yang mempunyai tunggakan cukai tanah yang tinggi.

“Tunggakan cukai tanah ini membabitkan tanah persendirian, tanah swasta dan tanah milik agensi kerajaan dan ia dirampas mengikut Seksyen 8a Kanun Tanah Negara.

“Mengikut seksyen ini juga, kita kini mempunyai sembilan tanah di negeri ini yang sedang dalam proses diwartakan untuk dilaksanakan rampasan.

“Rampasan ini membabitkan pemilik yang mempunyai tunggakan cukai tanah untuk lima tahun terdahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai operasi tindakan penguatkuasaan terhadap dua bidang tanah yang mempunyai cukai tanah tertunggak di Bukit Keteri, Chuping, di sini, hari ini.

Katanya, pada masa sama pemilik tanah ini yang ingin kembali menuntut tanah milik mereka itu boleh berunding dengan JTG untuk melunaskan tunggakan cukai tanah secara berperingkat.

“Kita masih boleh berunding di mana pemilik boleh melunaskan cukai tunggakan tanah mereka ini secara berperingkat.

“Namun, sekiranya mereka masih tetap gagal melunaskan tunggakan itu, maka tanah itu akan kembali menjadi pemilikan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, Ismasuhaimi bersama penguatkuasa Jabatan Tanah dan Galian dibantu anggota polis melakukan sitaan terhadap dua bidang tanah berkeluasan 5,000 meter persegi dan 14,000 meter persegi di Bukit Keteri, Chuping.

Kedua-dua tanah berkenaan didapati mempunyai tunggakan cukai tanah sebanyak RM500,000 dan RM200,000.





Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews