fbpx

Lebih 20,000 peserta meriahkan pertunjukan, perarakan Hari Kebangsaan

Raptai penuh hari kedua sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini di Dataran Merdeka. - Foto Fathil Asri

KUALA LUMPUR: Persembahan memukau dan acara penuh gilang-gemilang bakal dipamerkan lebih 20,000 peserta sempena pertunjukan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2022 di Dataran Merdeka, Rabu ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata dengan jangkaan 50,000 pengunjung hadir pada hari sambutan itu, orang awam juga digalakkan untuk datang awal bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

“Hari ini kita lakukan raptai penuh dengan beberapa penambahbaikan dibuat, termasuk daripada segi masa yang harap dapat dikekalkan pada hari sebenar nanti.

“Dari segi penyertaan, ia meningkat dari 10,000 peserta dengan terkini jumlah keseluruhan perarakan membabitkan 25,000 peserta,” katanya selepas raptai penuh perarakan di Dataran Merdeka, di sini, hari ini.

Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2022 turut berpuas hati dengan tahap kesiapsiagaan dan susun atur acara yang baik.

“Kita mahu penghayatan sambutan hari kemerdekaan disusuli di tempat, rumah dan komuniti masing-masing.

“Sambutan kali ini juga mendapat perhatian orang ramai, malah ia bilangan peserta dan aset terbesar pernah kita lakukan,” katanya.

Sambutan Hari Kebangsaan 2022 pada 31 Ogos ini bakal disambut secara besar-besaran di Dataran Merdeka selepas dua tahun diraikan sederhana bagi mengurangkan perhimpunan ramai susulan COVID-19.

Dataran Merdeka menjadi lokasi bersejarah yang menyaksikan peristiwa penting penurunan bendera Union Jack dan pengibaran Jalur Gemilang buat pertama kali pada tengah malam 31 Ogos 1957. Sejak itu ia menjadi tempat perarakan sambutan Hari Kebangsaan.

Acara pada 31 Ogos akan dimulakan dengan ketibaan rasmi pembesar negara, sebelum keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dengan menaiki kereta kuda diraja.

Ia diikuti lintasan hormat pesawat membawa Jalur Gemilang serta tembakan 14 das meriam yang menjadi antara acara tradisi sambutan Hari Kebangsaan.

Lebih menarik, penonton akan disajikan dengan lintasan kereta berhias atau float daripada kontinjen pihak swasta dan syarikat berkaitan kerajaan seperti kereta berhias gabungan syarikat telekomunikasi tempatan serta float yang membawa replika satelit MEASAT yang menjadi antara tumpuan utama pada hari berkenaan.

Acara Hari Kebangsaan pastinya tidak lengkap tanpa pertunjukan jentera dan aset ketenteraan dan keselamatan, malah menjadi segmen kemuncak dinantikan Keluarga Malaysia.





Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Polis buru suspek pecah rumah

Tanah Merah: Polis memburu seorang suspek disyaki memecah masuk rumah di Kampung Kubang Kerian, Bukit Panau dan melarikan wang tunai serta barang berharga dianggarkan bernilai

Read More »
Kwiknews