fbpx

40 bot nelayan berkonvoi kibar Jalur Gemilang

KIRA-KIRA 40 buah bot nelayan dari Unit Sungai Gelugor dan Batu Uban, George Town hari ini berkonvoi mengibarkan Jalur Gemilang merentasi Jambatan Pulau Pinang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65.

GEORGE TOWN: Sekumpulan nelayan dari Unit Sungai Gelugor dekat sini mengambil inisiatif tersendiri dalam menzahirkan semangat cintakan negara sempena Bulan Kemerdekaan menerusi program konvoi kibaran Jalur Gemilang dari atas bot nelayan.

Menerusi program dengan kerjasama Unit Nelayan Batu Uban itu, kira-kira 40 buah bot nelayan berlepas dari jeti unit nelayan terbabit dekat sini untuk berkonvoi mengibarkan Jalur Gemilang sejauh kira-kira lima kilometer merentasi Jambatan Pulau Pinang sehingga ke Pulau Gazebo selama hampir setengah jam.

Menurut Ketua Unit Nelayan Sungai Gelugor, Ali Hikal Saad, pihaknya terpanggil untuk menganjurkan program itu dalam bersama-sama seluruh rakyat Malaysia meraikan semangat kemerdekaan negara lebih-lebih lagi menjelang sambutan Hari Kebangsaan ke-65 esok.

Menurutnya, program konvoi kibaran Jalur Gemilang dari atas bot nelayan itu merupakan kemuncak sambutan Bulan Kemerdekaan selepas pihaknya turut menaikkan bendera di sekitar jeti unit nelayan terbabit sejak dua minggu lalu.

Tambahnya, bendera-bendera itu akan terus dikibarkan sehingga sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan.

“Usaha kami ini jika dibandingkan sangat kecil dengan pengorbanan dan jasa wira-wira negara yang menjaga serta memastikan keamanan negara.

“Namun, inilah yang mampu kami sumbangkan dalam bersama-sama seluruh rakyat Malaysia meraikan hari penuh bersejarah buat negara,” katanya ketika ditemui dalam program itu di sini hari ini.

Hadir merasmikan program itu ialah Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed.

Menurut Ali Hikal, program itu kali ini juga lebih bermakna kerana pertama kali dianjurkan hasil usaha sepenuhnya dan mendapat sokongan daripada lebih 300 nelayan dari kedua-dua unit terbabit.

“Kita pernah mengadakan konvoi kibaran Jalur Gemilang dari atas bot tahun lalu tetapi ketika itu dianjurkan bersama-sama dengan sambutan 50 tahun Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Tetapi, tahun ini lebih istimewa kerana  merupakan inisiatif dan usaha sepenuhnya nelayan-nelayan di sini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Abd. Razak turut melahirkan rasa bangga dengan usaha dan kesungguhan ditunjukkan kumpulan nelayan terbabit yang tidak mahu ketinggalan mempamerkan rasa cintakan negara.

“Ini juga bertepatan dengan tema Keluarga Malaysia, Teguh Bersama yang mana setiap daripada kita memainkan peranan dan terlibat dalam pembangunan negara.

“Saya berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa depan dan kerjasama para nelayan dengan Maritim Malaysia juga terus diperkukuhkan,” katanya.








Sumber: UTUSAN ONLINE

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Read more

Related Posts