fbpx

E-hailing tanpa LPP sah berdepan tindakan

PUTRAJAYA: Syarikat pengendali e-hailing yang gagal mematuhi kriteria bagi memperbaharui lesen perniagaan pengantaraan (LPP) seperti yang termaktub di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) akan dikenakan tindakan undang-undang.

Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi kenyataan akhbar hari ini berkata, sehingga kini, syarikat berkenaan didapati masih gagal memaparkan Permit Kenderaan e-hailing (eVP) pemandu.

Menurutnya, syarikat itu juga gagal untuk membenarkan penumpang mengenal pasti pemandu mereka menerusi aplikasi perkhidmatannya seperti mana yang ditetapkan di bawah Seksyen 12A(8) Akta 715.

“Ini adalah satu pelanggaran serius terhadap pematuhan yang diperlukan terhadap keselamatan dan perlindungan penumpang apabila menggunakan mana-mana aplikasi e-hailing.

“Oleh yang demikian, syarikat terbabit tidak dibenarkan memperbaharui LPP mereka yang luput pada 14 Julai 2022,” katanya.

Katanya, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang bertanggungjawab mengeluarkan LPP kepada syarikat e-hailing mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat tersebut pada 18 Ogos 2022.

Jelasnya lagi, individu yang mengendalikan perkhidmatan e-hailing tanpa LPP yang sah boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

MOT mengingatkan kepada pemandu yang menggunakan aplikasi sedemikian supaya menyemak terlebih dahulu kesahihan mana-mana pengendali e-hailing untuk mengelakkan sebarang liabiliti yang tidak diingini.






Sumber: UTUSAN 

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews