fbpx

Hapus duti hiburan 25 peratus

FB/FINAS Malaysia

KUALA LUMPUR: Gesaan pengecualian cukai duti hiburan 25 peratus antara isu paling banyak dibangkitkan penggiat seni pada sesi Program Townhall Sesi Libat Urus Bajet 2023 bersama Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Mohd Shahar Abdullah, di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Hulu Klang, kelmarin.

Penggiat seni pelbagai bidang terdiri daripada penerbit filem, penganjur konsert dan pawagam menuntut agar pengecualian cukai diberikan kerana menyifatkannya sangat membebankan.

Pengecualian cukai bukan sahaja dapat memanfaatkan semua sektor hiburan, malah pengguna.

Selama ini, duti hiburan jualan tiket dikenakan ke atas filem ditayangkan di pawagam melambung sehingga 25 peratus, sekali gus menjadikan Malaysia antara negara tertinggi di Asia mengenai cukai hiburan.

Program selama satu jam bersama Mohd Shahar dianjurkan bagi memberi peluang kepada penggiat seni menyuarakan kemusykilan mengenai isu industri supaya tindakan dapat diambil sebelum sesi pembentangan Bajet 2023, tidak lama lagi.

Selain isu duti hiburan, beberapa perkara lain dibangkitkan ialah kelewatan pemberian dana agensi dilantik kerajaan sehingga membebankan penerbit filem.

Turut dibangkitkan, isu bajet untuk sesi saringan perolehan (pitching) di RTM semakin berkurangan iaitu daripada RM120 juta kepada RM50 juta setahun menyebabkan penerbit dan kru terkesan.

Selain itu, isu pemegangan harta intelek (IP) antara perkara yang belum berjaya diselesaikan sejak dahulu. Sehingga kini, stesen televisyen (TV) terus memegang hak IP yang sepatutnya perlu dikongsikan bersama penerbit kerana mempunyai potensi menjana pendapatan pada masa depan.

Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM), Zahrin Aris, berkata walaupun kerajaan memperkenalkan Skim Insentif Tayangan Filem Cereja (ITFC), namun pengecualian duti hiburan harus diberikan memandangkan hanya 75 judul filem sahaja diterbitkan dalam tempoh setahun.

“Bagi menggalakkan pelaburan dalam industri, duti hiburan 25 peratus dikenakan agak tinggi. Jadi, apabila pelabur membuat perkiraan, mereka tidak yakin.

“Ini kerana jika meraih keuntungan RM1 juta, 25 peratus akan dipotong untuk cukai. Jadi, saya mohon jasa baik, walaupun ada ITFC, tetapi berharap tiada cukai dikenakan untuk filem tempatan bagi menggalakkan pertumbuhan sektor ini.

“Lagipun, lebih kurang 75 filem sahaja dihasilkan dalam tempoh setahun. Jadi, biarlah rakyat menikmati insentif menonton filem tempatan tanpa perlu membayar cukai,” katanya.

Mohd Shahar (kanan) dan Pengerusi FINAS, Senator Datuk Seri Zurainah Musa pada sesi Program Townhall Sesi Libat Urus Bajet 2023 bersama penggiat seni di FINAS, kelmarin. – NSTP/Fathil Asri


Pada sesi itu, Zahrin turut meluahkan kesukaran penerbit filem mendapatkan pinjaman daripada bank kerana terikat dengan pinjaman patuh syariah.

“Keadaan bertambah sukar apabila agensi dilantik lewat membuat pembayaran sehingga membebankan penerbit mengeluarkan bajet sendiri. Ada kalanya projek sudah disiapkan, namun pembayaran dana masih belum diberikan,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM), Anuar Che Embi berharap Kementerian Kewangan (MOF) mempertimbangkan semula bajet untuk pembeli rancangan tempatan oleh RTM dinaikkan kepada RM200 juta setahun.

Ini kerana katanya, bajet diperuntukkan semakin berkurangan tahun demi tahun menyebabkan ramai pekerja di balik tabir terkesan sehingga ada terpaksa menjadi nelayan dan tukang kebun akibat desakan hidup.

“Sebelum ini, RTM mengadakan sesi pitching dua kali setahun, tetapi kini hanya satu sesi diadakan dengan 800 syarikat yang berlumba-lumba memohon.

“Daripada jumlah itu, hanya 200 syarikat sahaja layak, jadi syarikat yang tidak berjaya tiada ‘job’. Memandangkan ramai kru balik tabir bekerja secara bebas, jadi ramai yang terduduk disebabkan tiada kerja.

“Sebelum ini, RTM mempunyai bajet sekitar RM120 juta untuk pembelian program, tetapi sekarang hanya RM50 juta diperuntukkan dalam tempoh setahun.

“Oleh itu, kami amat berharap agar perkara ini mendapat perhatian kerajaan supaya bajet pembelian rancangan tempatan di RTM dapat dinaikkan semula demi membantu pekerja industri,” katanya.

Presiden Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA), Khalil Salleh bersetuju agar pengecualian cukai duti hiburan 25 peratus mungkin boleh dilakukan dalam tempoh setahun.

“Pengecualian cukai sangat bermanfaat untuk kru balik tabir kerana dapat menikmati bayaran lebih tertinggi sekiranya duti hiburan dimansuhkan.

“PROFIMA berharap kerajaan menyediakan bajet untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana kebanyakan kru tidak mempunyai perlindungan PERKESO mahupun caruman KWSP.

“Bayangkan, masyarakat dapat menikmati pelbagai faedah daripada KWSP ketika era pandemik tetapi kru produksi hanya mampu menggigit jari kerana tidak mempunyai akaun KWSP.

“Kami juga berharap kerajaan dapat memberi perhatian mengenai isu perumahan. Sebelum ini, 80 artis diberikan bantuan perumahan, tetapi kru pula sebaliknya. Jadi, besar harapan kru mendapat peluang sama kerana kebanyakannya tidak memiliki rumah,” katanya.

Suhaimi membangkitkan isu IP sudah berlanjutan bertahun-tahun tanpa ada persefahaman berikutan kontrak dikeluarkan oleh MOF. – NSTP/Fathil Asri

Sementara itu, penerbit dan pengarah, Datin Paduka Suhaimi Baba meminta agar kerajaan membantu industri perfileman dengan meringankan beban penerbit seperti pemberian moratorium antara lima hingga 10 tahun untuk membantu industri.

Selain itu, Suhaimi turut membangkitkan isu IP sudah berlanjutan bertahun-tahun tanpa ada persefahaman berikutan kontrak dikeluarkan oleh MOF.

Justeru, Suhaimi berharap kontrak dapat ditambah baik supaya penerbit dan stesen TV mendapat manfaat bersama.

“Sepatutnya IP perlu dikongsikan antara stesen TV dan penerbit. Kita mempunyai banyak produk, tetapi hanya diletakkan di pusat sumber dan tidak digunakan untuk menjana pendapatan.

“Alasan diberikan stesen TV seperti RTM khususnya, kontrak dipegang dibuat oleh MOF. Jadi, penerbit tidak boleh menjual semula karya ke luar. Jadi, saya berharap kontrak dapat ditambah baik supaya kedua-dua pihak mendapat manfaat,” katanya.

Sementara itu, MOF akan mempertimbangkan permintaan penggiat seni agar cukai duti hiburan 25 peratus dimansuhkan.

Setiausaha Bahagian Cukai Kementerian Kewangan, Datuk Che Nazli Jaapar, berkata permintaan memansuhkan duti hiburan sukar dilaksanakan kerana adalah atas kuasa kerajaan negeri.

Che Nazli berkata, Kabinet sudah menghantar surat kepada kerajaan negeri, namun majoriti tidak bersetuju dengan cadangan kerana pendapatan negeri bakal terjejas sekiranya pengecualian cukai dilaksanakan.

“Setakat ini, Kuala Lumpur, Pahang, Selangor dan Sabah tidak mengenakan duit hiburan. Kami masih belum dapat menyelesaikan untuk aktiviti acara hiburan dan pawagam di negeri lain.

“MOF akan cuba mempertimbangkan dalam Bajet 2023. Cuma, agak sukar sekiranya ia dimansuhkan sepenuhnya,” katanya.






Sumber: Berita Harian

Share:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Read more

Related Posts

Kwiknews